Hashim Jasin Mursyidul Am PAS Yang Baharu

KUALA LUMPUR: Majlis Syura Ulama PAS hari ini memutuskan untuk melantik bekas Pesuruhjaya PAS Perlis, Hashim Jasin sebagai Mursyidul Am baru parti itu bagi menggantikan Allahyarham Datuk Haron Din.

Pelantikan itu dibuat selepas pemangku jawatan tersebut Datuk Ahmad Yaakob menolak untuk menerimanya ekoran komitmen terhadap kerajaan negeri Kelantan.

Menurut Setiausaha Majlis Syura PAS Datuk Dr Nik Mohamad Zawawi Nik Salleh, lantikan itu dibuat selepas mengambil kira alasan kukuh yang diberikan Ahmad, selain mahu individu lain yang dapat memberi nasihat kepada Kelantan.

“Mesyuarat Majlis Syura Ulama memutuskan pengganti kepada Datuk Haron Din adalah Haji Hashim Jasin dari Perlis.

“Pelantikan ini adalah cadangan daripada pemangku mursyidul am Datuk Ahmad Yaakob dan cadangan Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang.

“Faktor yang menyebabkan Datuk Ahmad menolak untuk dilantik sebagai Mursyidul Am dan Majlis Syura Ulama dapat menerima alasan-alasan iaitu kesibukan beliau untuk mengurus kerajaan Kelantan. (Dan) memerlukan seorang Mursyidul Am yang boleh memberi nasihat kepada Kelantan,” katanya kepada Antarapos selepas selesai bermesyuarat hampir dua jam.

Menyuarat tersebut turut disertai Ahmad dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Hashim, 77, memegang jawatan sebagai Pesuruhjaya PAS Perlis selama 37 tahun iaitu bermula tahun 1971 sehingga 2008.

Bekas ADUN Sanglang itu kini menjawat jawatan sebagai Ahli Majlis Syura Ulama PAS.

Ahmad sebelum ini menolak untuk mengambil alih jawatan tertinggi parti itu, dan mahu memberi laluan kepada individu yang lebih layak berbanding dirinya.

Kerusi itu kosong selepas Allahyarham Haron meninggal dunia pada 16 September lalu akibat komplikasi jantung, di Hospital Stanford, San Francisco, Amerika Syarikat.

Sebelum ini pemerhati politik berkata, Ahmad keberatan untuk menerima jawatan itu kerana dua penyandangnya sebelum ini, Allahyarham Haron dan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, adalah individu yang disegani dan ramai pihak meletak harapan yang tinggi kepada sesiapa sahaja yang akan menggantikan mereka kelak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.