Donald Trump Enggan Tarik Diri

NEW YORK – Calon Presiden Amerika Syarikat (AS) daripada Parti Republikan, Donald Trump menegaskan bahawa beliau tidak akan menarik diri daripada bertanding pada pilihann raya Presiden AS pada November ini.

 

Bahkan, Trump turut mangakui pernah me­ngucapkan kata-kata kesat pada 2005 seperti dalam video yang tersebar, kelmarin dan me­mohon maaf atas insiden tersebut.

 

Beliau menegaskan akan meneruskan hasratnya untuk bertanding jawatan itu, walaupun isterinya, Melania dan calon Naib Presiden, Mika Pence mengkritiknya dan beberapa tokoh terkemuka parti tersebut menggesa beliau menarik diri daripada pilihan raya tersebut.

 

“Peluang tipis untuk saya ber­undur,” kata Trump kepada Wall Street Journal, semalam.

 

Video itu merupakan bencana terbaharu bagi Trump yang berharap dapat menghidupkan semula peluangnya ekoran kemerosotan jumlah undian dalam pu­ngutan suara ketika pilihan raya Presiden AS hanya tinggal 30 hari dan debat kedua Presiden bertemu seteru utamanya, Hillary Clinton akan berlangsung hari ini.

 

Klip yang didedahkan Washington Post, kelmarin menunjukkan Trump bercakap besar untuk meramas wanita termasuk yang sudah berkahwin, selain mengadakan seks dengan mereka secara sewenang-wenangnya.

 

“Sesiapa yang mengenali saya tahu kata-kata itu tidak mencerminkan karakter saya yang sebenar. Saya mengakui saya silap dan saya minta maaf,” kata Trump menerusi kenyataan video dalam akaun Facebook miliknya.

 

Dalam satu kenyataan, Melania menyifatkan perkataan suaminya sama sekali tidak dapat diterima dan menyakitkan hatinya.

 

“Ini tidak mewakili lelaki yang saya kenal. Beliau mempunyai ciri seorang pemimpin dan saya harap orang ramai menerima permohonan maafnya seperti saya dan memberi tumpuan kepada isu lain yang lebih penting,” katanya.

 

Pada masa sama, Pence calon Naib Presiden AS yang bergan­dingan dengan Trump, turut mengeluarkan kenyataan kritikal dalam akaun Twitter miliknya terhadap Trump dengan menyifatkan beliau tidak dapat mempertahankan calon berkenaan.

 

“Sebagai seorang suami dan ayah, saya tersinggung dengan kata-kata dan perbuatan yang digambarkan Trump dalam video yang diambil 11 tahun lalu yang disiarkan semalam,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.