59 Pendatang Tanpa Izin Ditahan Di Tapak Pembinaan

ALOR SETAR – Jabatan Imigresen negeri menahan 59 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam ‘Op Bersepadu’ di dua tapak pembinaan di sekitar daerah Sungai Petani semalam.

 

Ketua Bahagian Penguatkuasa Imigresen Kedah, Mohd. Shahrir Khalil berkata, dalam operasi pada pukul 11.25 pagi itu, 20 lelaki Myanmar, Indonesia (19), Bangladesh (12), Nepal (empat), tiga wanita Indonesia serta seorang wanita Myanmar berusia antara 31 hingga 40 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan.

 

“Kami jalankan pemeriksaan terhadap 76 PATI pelbagai warganegara dan 59 daripadanya ditahan atas kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) kerana tiada dokumen perjalanan yang sah dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

 

“Semasa pemeriksaan semua PATI sedang sibuk bekerja namun selepas menyedari kehadiran penguat kuasa, ada antara mereka yang cuba melarikan diri dan bersembunyi tetapi tindakan mereka gagal,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Mohd. Shahrir berkata, semua yang ditahan ditempatkan di lokap Imigresen, bangunan Kementerian Dalam Negeri, Alor Setar untuk siasatan dan tindakan lanjut sebelum diserah ke Depoh Tahanan Imigresen Belantik, Sik. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.