2 Murid ‘Keluar’ Dari Sekolah Sesat 10 Jam

KUALA TERENGGANU – Dua murid tahun empat Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Panjang di sini sanggup berjalan kaki sejauh kira-kira 10 kilometer (km) Gara-gara mahu menyaksikan perlumbaan motosikal, sebelum tersesat 10 jam kerana terlupa jalan pulang ke rumah.

 

Kedua-dua murid itu, Wan Noraiman Haikal Wan Saifuddin Hafiz dan Muhammad Fakrullah Mohd Fahimie masing-masing berumur sepuluh tahun sebelum itu mengikuti sambutan Hari Sukan Negara di padang sekolah mereka yang bermula pada pukul 7.30 pagi.

 

Bagaimanapun, ketika sambutan Hari Sukan Negara baru setengah jam bermula, kedua-dua kanak-kanak itu menyelusup keluar dari SK Pasir Panjang dan mula berjalan menuju ke Litar Lumba Permotoran Gong Badak yang terletak di pekarangan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus, lapor Kosmo.

 

Mereka yang masing-masing berbekalkan wang saku RM3 teruja untuk menonton perlumbaan motosikal jarak dekat di litar tersebut.

 

Malangnya, sebaik tiba di Litar Lumba Permotoran Gong Badak pada pukul 10 pagi, bukan sahaja perlumbaan motosikal lumba jarak dekat itu tidak wujud malah mereka juga terlupa jalan pulang.

 

Gara-gara hilang punca, kedua-dua murid itu berlegar-legar di sekitar Gong Badak dan Seberang Takir mencari jalan pulang dengan wang saku masing-masing sudah habis dibelanjakan untuk membeli makanan.

 

Nasib baik masalah yang dihadapi Wan Noraiman dan Muhammad Fakrullah disedari oleh penduduk di Kampung Batin, Seberang Takir pada pukul 8 malam ketika mereka berhenti rehat di kampung itu. Ke­dua-dua sahabat itu kemudian dihantar pulang oleh penduduk kampung ke SK Pasir Panjang.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.