2 Kereta Api Berlanggar, 29 Penumpang Cedera

NEW YORK – Sebuah kereta api penum­pang tergelincir dari landasan di Long Island berhampiran kawasan perumahan New Hyde Park di sini semalam.

 

Insiden berlaku pada kira-kira pukul 9 malam itu meng­akibatkan sekurang-kurangnya 29 orang cedera, apabila kereta api penumpang berkenaan melanggar sebuah kereta api penyenggaraan kira-kira 32 kilometer ke timur Manhattan.

 

 

Menurut polis, kemalangan itu mengakibatkan Perkhidmatan Ke­­reta Api Long Island terpaksa menghentikan perkhidmatannya bagi kedua-dua laluan.

 

 

Tidak dapat dipastikan apakah kereta api penyenggaraan itu sedang bergerak ketika kejadian berlaku.

 

 

Kemalangan tersebut berlaku sembilan hari selepas sebuah kereta api penumpang merempuh sebuah terminal di Hoboken di New Jersey, sebuah laluan kereta api utama di barat New York City.

 

 

Eksekutif Daerah Nassau, Ed Mangano berkata, kesemua 29 penumpang yang cedera itu kini dirawat di hospital berhampiran.

 

 

Gabenor New York, Andrew Cuomo yang memetik laporan awal meletakkan jumlah mangsa yang cedera kepada 11 orang, namun tidak seorangpun daripada mangsa terbabit mengalami kecederaan serius.

 

 

Menurut Cuomo, kereta api yang membawa 12 buah gerabak itu sedang menghala ke arah timur bersama 600 orang penumpang sebelum tiga gerabak paling hadapan tergelincir berhampiran Stesen New Hyde Park selepas melanggar kereta pe­nyenggaraan terbabit.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.