TPP: Semua Pihak Perlu Lebih Adil

AYER KEROH – Semua pihak di negara ini diminta bersikap adil dan objektif dalam berdepan isu perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) agar isu itu tidak memberi kesan buruk kepada negara.

 

 

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, rakyat seharusnya memahami sedalamnya mengenai TPP sebelum membangkang dan membuat pertimbangan, bagi memastikan bangkangan dan pertimbangan itu adil.

 

 

“(Rakyat) kena tahu apa isunya, kita tidak pernah menyatakan bahawa semuanya (berkaitan TPP) sempurna. Ada juga yang tidak baik, mungkin.

 

 

“Saya harap rakyat Malaysia berlaku adil, baca, tahu apa isi kandungan. Lepas itu buat pertimbangan. Yang penting kita adil dan sanggup mendengar pandangan daripada semua pihak,” katanya kepada media di sini semalam.

 

 

Mustapa berkata demikian ketika ditemui selepas Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka 2015 yang diadakan sempena sambutan ulang tahun kelahiran ke-77 Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob, di sini.

 

 

Seramai 760 orang menerima darjah, bintang dan pingat kebesaran negeri Melaka pada tahun ini dan pada sesi pertama semalam seramai 35 orang menerima anugerah.

 

 

Pada istiadat itu, Mutapa menerima Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM) membawa gelaran Datuk Seri.

 

 

Mustapa memberitahu, kerajaan sedia mendengar pandangan pelbagai pihak bagi mencapai kata sepakat berhubung TPP tetapi pandangan tersebut perlu melalui saluran yang betul.

 

 

Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan hanya akan membuat keputusan mengenai TPP setelah mengambil kira pelbagai pertimbangan dan pandangan.

 

 

“Saya ucapkan terima kasih untuk semua pandangan yang telah diberikan berhubung TPP ini termasuk pengkritik…sesuatu tindakan itu pasti ada baik dan buruknya, tetapi kalau baiknya lebih banyak daripada buruk sudah pasti kita tidak harus berpaling ke belakang,” katanya.-Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.