Menteri India Buat Kenyataan Kontroversi

NEW DELHI – INDIA. Seorang Menteri di India mencetuskan kontroversi dengan membuat kenyataan tidak bertanggungjawab apabila menyifatkan dua lelaki merogol seorang wanita sebagai bukan jenayah rogol berkumpulan.

 

 

Menteri Dalam Negeri bagi wilayah Karnataka, KJ George membuat kenyataan itu bagi mengulas kejadian seorang pekerja wanita di Madhya Pradesh yang diculik dua lelaki, sebelum dirogol di kawasan gurun di Madiwala.

 

 

Menurut Indian Ekspress, kejadian menggemparkan itu berlaku pada 3 Oktober lalu, semasa wanita berusia 22 tahun itu dalam perjalanan pulang dari tempat kerja.

 

 

“Bagaimana anda boleh memanggil kejadian itu sebagai rogol berkumpulan? Rogol berkumpulan melibatkan empat hingga lima orang,” katanya.

 

 

Sementara itu, pengerusi Suruhanjaya Wanita Kebangsaan (NCW), Lalita Kumarmangalam berkata, pihaknya akan menghantar surat bagi menuntut penjelasan daripada menteri terbabit.

 

 

“Kenyataan pelik yang dibuat menteri terbabit menunjukkan dia tidak memahami isu keganasan terhadap wanita,” katanya.

 

 

Awal tahun ini, pemimpin Parti Samajwadi (SP), Mulayam Singh menyalahkan golongan wanita sebagai punca meningkatnya kes rogol di India dengan menyifatkan golongan terbabit tidak pandai menjaga kelakuan mereka di tempat awam.

 

 

Pada 2012, kejadian rogol berkumpulan membabitkan seorang pelajar perubatan wanita sehingga mengakibatkan mangsa meninggal dunia, mencetuskan bantahan besar-besaran di New Delhi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.