Lapan Modul Baru PLKN Diperkenal Tahun Depan

KUALA LUMPUR – Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara, Datuk Ehsanuddin Harun Narrashid mengumumkan perlaksanaan PLKN 2.0 yang dijadualkan pada 18 Januari tahun depan akan menggunakan lapan modul baru.

 

Menurutnya, modul di sepanjang tempoh latihan yang sedia ada diubah mengikut kesesuaian semasa dan lapan modul yang bakal dilaksanakan iaitu MalaysiaKu, Cakna Negara (Be Safe Be Alert), Pembangunan Diri (I-Upgrade), Kerjayaku (MyFuture), Khidmat Masyarakat (Service Learning), Cergas Tangkas (Fit4Life), Bicara Tekno (Tech & Talk) dan Kerohanian (Spirituality) itu bertepatan dengan 3 teras utama PLKN iaitu Kesukarelawanan, Perpaduan dan Cintakan Negara.

 

Katanya, beberapa transformasi juga turut dilaksanakan pada program tersebut dimana 30 peratus dari pengambilan pelatih adalah terdiri daripada sukarelawan, manakala 70 peratus lagi adalah dari pelajar-pelajar yang dicadangkan oleh pihak sekolah.

 

“Kita juga akan memendekkan tempoh perlaksanaan program, dari 12 minggu kepada lapan minggu dimana ia sekali gus akan mengurangkan kos bagi program ini,” katanya.

 

Katanya lagi, tempoh masa yang pendek dilakukan bertujuan untuk membuat penambahan pengambilan bagi setiap program dalam setahun.

 

Selain itu menurutnya program jangkamasa panjang juga turut dibuat sebagai Follow-up Program perlaksanaan PLKN 2.0.

 

“Ia melibatkan lebih 420 agensi kerajaan dan 10 kementerian, (tidak termasuk GLC).

 

“Pelatih akan diberikan peluang untuk membina kerjaya bersama badan-badan terbabit sebaik menamatkan latihan tersebut,” katanya pada sidang media di Jabatan Khidmat Negara, Wangsa Maju semalam.

 

Sementara itu, menurut Ehsanuddin, Yayasan Alumni PLKN turut dibentuk bagi mengemaskini data mengenai bekas-bekas pelatih sebelum ini.

 

Aspek keselamatan turut dipertingkatkan pada program kali ini, baik dari segi perlaksanaan modul mahupun penempatan pelatih. Sehubungan itu, penyelenggaraan semula lebih 80 kem Khidmat Negara seluruh Malaysia telahpun mula dilaksanakan menjelang PLKN 2.0 pada 2016.

 

“Dalam program tersebut juga hampir 400 orang akan mengambil bahagian yang mana 309 pelatih adalah dari kalangan sukarelawan, 32 pelatih dari Malaysian Automotive Institute selainnya adalah individu yang membuat penangguhan latihan pada program yang lalu. – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.