Azmin Menteri Besar Yang Gagal, Kata Khalid Ibrahim

PETALING JAYA – Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menganggap Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Besar yang gagal kerana menggunakan strategi politik murahan.

 

Beliau berkata, walaupun lebih setahun menjadi Menteri Besar, Azmin gagal membuang taktik menagih simpati lapuk.

 

“Peluang yang diberikan rakyat untuk membuktikan beliau seorang negarawan berjiwa besar setelah diangkat menjadi Menteri Besar dipersiakan kerana jelas beliau masih tidak cuba bermuhasabah dan mengambil tanggungjawab atas kegagalan melaksanakan prinsip urus tadbir yang baik dalam pentadbiran negeri.

 

“Sebaliknya, beliau terus sewenang-wenangnya mempersalahkan orang lain tanpa mengakui kelemahan diri atau memperbaiki keadaan.

 

“Sekiranya orang luar atau bukan anggota dikatakan tiada hak mencampuri urusan dalaman PKR, wajarkah atau adilkah PKR dan parti pembangkang lain diberi ruang menegur, membidas atau membantah apa sahaja yang dilakukan atau disuarakan oleh parti komponen Barisan Nasional?,” katanya kepada FMT.

 

Beliau memberi respons itu selepas Azmin menasihatkan Khalid tidak mencampuri urusan dalaman PKR kerana beliau bukan lagi ahli PKR.

 

Sementara itu, bekas Setiausaha Politik Khalid, Faekah Hussin berkata, Khalid hanya memberi respons itu selepas ditanya oleh media.

 

Katanya, wajar bagi Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu menjawab tentang krisis dalaman PKR kerana beliau dipecat secara jahat bagi membolehkan kerusi Menteri Besar dikosongkan.

 

“Jawapan Azmin menyerlahkan kegagalan pembangkang mencapai kata sepakat berhubung pembentukan Pakatan Harapan.

 

“Azmin nampaknya mahir dalam memainkan peranan dan bermuka-muka. Azmin akur dengan telunjuk DAP dan Parti Amanah Negara tetapi masa yang sama berbaik-baik dengan Pas semata-mata mahu mengekalkan jawatan Menteri Besar,” katanya. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.