Pertelingkahan Antara Kumpulan, Perebutan Kawasan Atau Kemalangan – Kamal Affendi

Kuala Lumpur – Faktor lokasi dan masa berhubung insiden letupan di Bukit Bintang, awal pagi semalam memberikan petunjuk bahawa motif kejadian mungkin disebabkan pertelingkahan antara kumpulan atau perebutan kawasan perniagaan, kata penganalisis jenayah terkenal Kamal Affendi Hashim.
Bagaimanapun, Kamal berkata, ia hanyalah andaian awal berdasarkan kedua-dua faktor berkenaan.
“Seperti (andaian) yang dibuat oleh pihak berkuasa, iaitu siasatan dijalankan merangkumi beberapa sudut. Umpamanya (ia bermotifkan) pertelingkahan antara kumpulan, perebutan kawasan.. juga sama ada ia sengaja dilakukan ataupun kemalangan. Ini perkara yang sedang disiasat,” katanya kepada Antarapos.
Malah Kamal juga menegaskan agar masyarakat tidak mudah melabel sesuatu kawasan yang pernah berlaku jenayah sebagai kawasan hitam atau ‘black area’.
Menyifatkan ia sebagai persepsi yang tidak tepat, Kamal juga menjelaskan jenayah hanya boleh berlaku dengan jika wujudnya peluang.
Katanya, perasaan ‘takut’ dan ‘bimbang’ untuk ke kawasan berkenaan dan kawasan berhampirannya mungkin akan menghantui masyarakat, namun dengan jaringan komuniti yang saling berhubung dengan pihak berkuasa diyakini mampu membanteras jenayah.
“Cuma yang terjejas pada masa ini ialah tumpuan orang ramai kepada kawasan berkenaan, memandangkan ketakutan itu masih ada. Tapi sebaik saja ia hilang, tambahan pula pihak polis berjaya yakinkan tempat itu kembali selamat, saya kira jumlah pengunjung kawasan tersebut dan sekitarnya akan terus kekal,” katanya.
Dalam insiden awal pagi semalam, seorang joki kereta, Tiong Kwang Yie, 36, mati akibat kecederaan parah selepas sebutir bom tangan meletup di hadapan sebuah Pub, di Jalan bukit Bintang.
Saksi di tempat kejadian memberitahu ternampak satu benda jatuh dari tingkat dua atas sebuah pub dan kemudiannya meletup.
Siasatan awal polis percaya letupan terbabit disasarkan terhadap pekerja berkenaan.
Insiden itu juga mengakibatkan 13 orang cedera. Kesemua mangsa yang cedera berumur antara 20 dan 42 dan masih menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Tung Shin.
Sementara itu, empat kenderaan mewah mengalami kerosakan akibat terkena serpihan letupan terbabit.  –  Antarapos

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.