Pengguna Perkhimatan Awam Tidak Peka, Tiada Simpati

Kuala Lumpur – ‘Pekak atau buta’? Itu yang boleh disifatkan kepada segelintir pengguna perkhidmatan awam apabila membiarkan seorang ibu menyusukan anaknya di atas lantai Express Rail Link (ERL) semalam tanpa rasa simpati untuk menawarkan tempat duduk kepadanya.

Memetik laporan Harian Metro hari ini sebagai berkata, peristiwa pilu tersebut berlaku kepada Wan Noor Shila Mior Sharifuddin,30, bersama anak perempuannya berusia setahun yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur (KL) Sentral ke stesen Salak Tinggi untuk pulang ke rumahnnya di Nilai, Negeri Sembilan sekitar jam 6.30 petang.

Wan Noor Shila yang sebelum ini memuat naik status bersama sekeping gambar di laman Facebooknya, Adeila Afiqah Iman berkongsi rasa kesal apabila beliau terpaksa duduk di atas lantai untuk menyusukan anaknya tanpa dihiraukan oleh beberapa pengguna perkhidmatan awam tersebut yang tidak menawarkan tempat duduk kepadanya, mula menjadi viral di laman sosial.

Dalam status yang sama, Wan Noor Shila berharap agar pihak berkuasa menyediakan lebih tempat khas kepada golongan yang memerlukan seperti golongan tua, ibu mengandung dan orang kurang upaya (OKU).

Lebih menyedihkan, Wan Noor Shila berkata, ketika kejadian tersebut mereka yang duduk di kerusi terdiri daripada golongan muda yang seolah-olah ‘pekak dan buta’ kerana tidak mempedulikan keadaan beliau ketika itu.

Bagaimanapun seperti yang dilaporkan Harian Metro, Wan Noor Shila berkata seorang wanita berusia lewat 50-an bersimpati kepadanya dan telah mempelawa tempat duduk kepadanya, namun beliau menolak memandangkan wanita tersebut juga kelihatan tidak larat dan lebih memerlukan.

Tambahnya, kejadian tersebut bukan pertama kali berlaku malah pernah terjadi kepadanya sebelum ini ketika beliau sarat mengandung  menggunakan KTM Komuter yang juga dalam perjalanan dari KL Sentral.

Ekoran daripada itu, rata-rata pengguna di laman sosial mengkritik sikap segelintir pengguna perkhidmatan awam yang dilabelkan tidak mempunyai sifat perikemanusiaan dan rasa kesian kepada golongan yang memerlukan.

 

One thought on “Pengguna Perkhimatan Awam Tidak Peka, Tiada Simpati

  • October 12, 2014 at 8:28 am
    Permalink

    bukti kegagalan sistem pendidikan kita

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.