Keluarga AR Tompel Tuntut Permohonan Maaf, Hentikan Siaran Serta Merta

Kuala Lumpur – Waris Allahyarham AR Tompel menuntut penyiaran telefilem biopik Saloma terbitan Kus Semangat Aktor di Astro First dihentikan serta merta dan permohonan maaf secara terbuka.

“Kami mahu siaran telefilem biopik Saloma dihentikan serta merta,” kata Adlin Aman Ramli pada sidang media di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) sebentar tadi.

Waris keluarga arwah yang turut hadir ialah Ruminah Sidek, AR Badul, Amran Tompel dan Datuk Zainal Abidin yang bertindak sebagai pemerhati.

Menurut Adlin, sidang media ini diadakan bukan bertujuan untuk mengeruhkan keadaan atau mencetuskan sensasi sebaliknya mahu menuntut hak serta menjaga maruah.

Selain tuntutan supaya telefilem berkenaan dihentikan serta merta siarannya, keluarga waris Allahyarham juga mengemukakan dua lagi tuntutan.

“Kita tidak mahu hal ini sampai dibawa ke mahkamah. Tetapi peringatan sudah diberikan namun diabaikan. Kita mahu perhatian serius mereka.

“Kita juga berharap pihak mereka menyiarkan permohonan maaf secara terbuka kepada kami. Selain itu kita buka juga proses rundingan untuk bertemu dan berbincang.

“Tapi jika cara ini tidak mampu menghentikannya kita terpaksa guna saluran mahkamah juga,” katanya.

Adlin berkata, terdapat 29 babak yang memperlihatkan arwah AR Tompel sebagai watak hitam yang sangat kejam.

“Telefilem ini terutamanya episod pertama Mencuri Guruh sangat prejudis dan berat sebelah kepada arwah bapa saya. Arwah bapa diekploitasi dalam pelbagai cara yang menjatuhkan reputasi dan kredibilitinya.

“Ada babak arwah yang diada-adakan hingga dianggap seperti fitnah. Ada yang direka serta ditokok tambah. Kami benar benar tersinggung dan sedih hati dengan hal ini.

Adlin berkata, ketika peringkat penggambaran berlangsung lagi, pihaknya sudah menghubungi pihak penerbit dan penyiar tetapi tidak diendahkan.

“Kami terbuka untuk terbabit secara tak langsung atau bersedia memberi pendapat terutamanya berkaitan watak arwah. Tapi hak kami yang berhak diketepikan dan dinafikan.

“Dua kali saya dipanggil untuk menonton telefilem itu sebelum disiarkan, tetapi dua kali itu juga ia dibatalkan,” katanya.

Sementara itu, peguam yang dilantik keluarga waris arwah dari syarikat Azam & Co, Mohd Khairul Azam menjelaskan notis tuntutan sudah dikeluarkan pada 26 September lalu tetapi hanya dibalas pada semalam (8 Oktober) oleh pihak Astro.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.