Kebakaran Hutan Libatkan 170 Hektar Musnah

California – Kebakaran hutan yang tidak terkawal dan merebak dengan cepat di timur laut Sacramento mengakibatkan lebih 170 hektar musnah manakala lima rumah hangus.

Jabatan Perhutanan dan Kawalan Kebakaran California dalam laman webnya, berkata kejadian bermula di lima kawasan kebakaran kecil berasingan di sepanjang Lebuhraya Interstate 80 berhampiran kawasan penempatan Applegate kelmarin.

Kebakaran itu menyebabkan penduduk di kawasan terbabit terpaksa dipindahkan dengan semua jalan ditutup kecuali Lebuhraya I-80 menuju ke timur.

Agensi berkenaan berkata kebakaran itu juga sedang mengancam kira-kira 1,000 rumah dan hanya dapat dikawal sebanyak 20 peratus pagi semalam.

Asap daripada api yang menyemarak itu dilaporkan dapat dilihat sehingga di ibu negeri California itu sejauh 40 kilometer.

Jurucakap Bomba, Daniel Berlant berkata angin membawa kebakaran menghala tenggara kelmarin sehingga menimbulkan kebimbangan ia akan merebak ke kawasan kering berikutan kemarau di Sungai Canyon.

Katanya, kira-kira 1,200 kakitangan dihantar untuk memadam api dengan bantuan 128 kenderaan bomba, tujuh helikopter dan 18 jentolak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.