Cukuplah Demontrasi, Kita Ada Parlimen Dan Gunakan Saluran Yang Betul – Exco Pemuda UMNO

Kuala Lumpur – Penyokong pakatan pembangkang diingatkan agar tidak mencetus provokasi melampau terhadap kepimpinan tertinggi negara dan mereka perlu menggunakan saluran yang betul jika ingin menyuarakan pendapat.

Exco Pergerakan Pemuda Umno Armand Azha Abu Hanifah berkata penyokong pakatan pembangkang boleh meminta pemimpin mereka untuk bersuara dalam Parlimen kerana mereka turut mempunyai wakil di dalamnya.

“Cukup-Cukuplah (demonstrasi) kerana kita mempunyai saluran demokrasi, kita ada sistem Parlimen, sebaiknya gunakan saluran yang betul kerana mereka (penyokong pembangkang) juga ada wakil dalam Parlimen.

“Kalau mereka (Anggota Parlimen pembangkang) tak reti menggunakan saluran demokrasi, maka jangan khianat apa yang rakyat telah berikan (melantik mereka sebagai Anggota Parlimen). Sila letak jawatan, beri kepada wakil rakyat yang lebih bertanggungjawab,” katanya pada sidang akhbar pada Khamis.

Dalam satu demonstrasi di luar kawasan Parlimen semalam, seorang lelaki bertindak biadab dengan meletakkan selipar di poster yang tertera gambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Armand, yang juga Pengerusi Briged Kesatria Muda, turut mengingatkan Anggota Parlimen pembangkang agar tidak cuba menanam kebencian dalam minda rakyat menerusi perlakuan negatif yang ditunjuk dalam demonstrasi itu.

“Adakah ini yang nak diterapkan dalam pemikiran rakyat pada masa hadapan, di mana kita nak rakyat Malaysia tak hormat (kepimpinan tertinggi negara).

“Adakah mereka (pemimpin pembangkang) nak satu hari nanti kalau mereka jadi pemimpin, kita buat perkara sama,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.