Polis Sahkan Terima Laporan Pegawai Khas Timb. Menteri Rakam Bawah Skirt Wanita

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menerima satu laporan berhubung kes seorang lelaki yang merakam bawah skirt seorang wanita menggunakan telefon bimbit.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 (Akta 336).

“PDRM ingin menasihatkan orang ramai supaya tidak menularkan video kes ini kerana kes ini masih dalam siasatan PDRM,” katanya dalam kenyataan, Isnin.

Mazlan berkata orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat yang boleh membantu siasatan kes berkenaan boleh menghubungi pegawai penyiasat kanan iaitu Asisten Superitendan Azrizal Khairul Abd Kadir di talian 019-2769117 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di talian 03-40482233.

Semalam, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Azis Jamman memecat seorang pegawainya susulan perilaku keji individu berkenaan di sebuah kedai cermin mata.

Azis dilaporkan berkata beliau mengambil maklum satu laporan polis dan rakaman video CCTV yang tular dalam media sosial dan memecat pegawai berkenaan serta merta kerana tindakan itu menjejaskan imej dan kredibiliti beliau selaku Timbalan Menteri Dalam Negeri serta pejabat Timbalan Menteri.

Video berdurasi lebih satu minit yang memaparkan perilaku pegawai berkenaan merakam video di bawah skirt petugas wanita di sebuah kedai cermin mata tular dalam media sosial. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.