Polis Beri Jaminan Tiada Intipan Dilakukan Ke Atas TMJ dan Sultan Johor

PETALING JAYA – Polis hari ini memberi jaminan kepada kerabat dan pihak Istana Johor berhubung dakwaan Sultan Johor dan Tuanku Mahkota Johor sedang ‘diintip’ kerajaan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata pihaknya memberi jaminan perkara tersebut tidak berlaku.

“Berhubung dengan kenyataan Tunku Mahkota Johor di laman Facebook bertajuk ‘My father and i being monitored’, pihak PDRM memberi jaminan ia tidak berlaku,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Fuzi, beliau sendiri akan memohon perkenan Tuanku Sultan Johor Sultan Ismail Sultan Iskandar untuk menghadap bagi mengangkat maklum perkara tersebut.

Semalam, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail melalui siaran di Facebook mendakwa beliau serta ayahandanya sedang diperhatikan oleh kerajaan.

Menurut Tunku Ismail maklumat mengenai pemantauan itu disampaikan oleh seseorang kepadanya baru-baru ini.

“Adalah sangat tidak baik apabila ada pegawai yang sampaikan pesan bahawa saya dan ayahanda saya, Sultan Johor sedang diperhatikan,” katanya.

Tunku Ismail juga mendakwa ramai tentera siber diletakkan pada akaun Facebook Johor Southern Tigers (JDT) serta halaman peribadi mereka oleh pihak atasan kerana mereka “kurang senang”.

Pagi tadi, media melaporkan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman turut menafikan kenyataan Tunku Ismail yang mendakwa keluarga Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar turut diintip dan ‘diperhatikan’.

“Setahu saya tiada arahan seumpama itu keluar, sama ada daripada kepimpinan kerajaan atau mana-mana pihak termasuk kepimpinan PH, tidak ada,” katanya. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.