Zahid Lancar Derma Spontan Untuk Rohingya

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengetuai kempen derma untuk membantu etnik Rohingya yang sedang ditindas di Rakhine, Myanmar.

Lebih menarik kempen itu berlangsung secara spontan semasa beliau berucap merasmikan majlis penutup program Merdeka Rides 2017 di Putrajaya.

Di akhir ucapannya Ahmad Zahid menanggalkan topi yang dipakainya dan menggesa hadirin – kebanyakannya anggota Persatuan Superbikers Malaysia – menghulurkan bantuan.

“Marilah kita bangun memberi dukungan dan sokongan kepada Rohingya.

“Mari buka topi dan hulurkan derma sebanyak mungkin,” katanya.

Menegaskan beliau bukan mahu menunjuk-nunjuk, dalam tempoh kurang dari 10 minit hampir RM4,000 berjaya dikumpulkan.

Terdahulu dalam ucapannya Ahmad Zahid berkata penunggang motosikal boleh pergi ke mana-mana dengan bebas kerana negara ini aman.

“Tapi cuba kita kenang apa yang sedang berlaku di Myanmar. Rohingya dihalau dari tanah air mereka, bersabung nyawa, dibakar, dipancung dengan kejam,” katanya.

Jangan fikir beza agama

Justeru dengan kesedaran itu kata Ahmad Zahid penunggang motosikal berkuasa besar perlu bangun memberi sokongan kepada kerajaan Malaysia yang memberi bantuan kepada Rohingya di sempadan Bangladesh.

Beliau juga menyatakan harapan untuk ke Rakhine sendiri apabila Rohingya diiktiraf oleh Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

“Insya-Allah saya akan bersama saudara semua berada di Myanmar untuk mengambil peduli,” katanya.

Beliau juga menggesa bekas setiausaha agung PBB Kofi Annan serta pertubuhan antarabangsa menunjukkan keprihatinan masing-masing kepada isu Rohingya.

“Saya seru Kofi Annan, PBB, pertubuhan antarabangsa lain supaya ambil peduli Rohingya ini.

“Jangan fikir perbezaan agama dan kaum yang ada. Apa yang penting ialah rasa perikemanusiaan. Bantu Rohingya yang dizalimi.

“Kita mahu apa yang dialami mereka turut dirasai kita. Kita mahu pemimpin Myanmar dengar suara Asean dan dunia. Orang Rohingya bukan binatang, mereka ialah manusia yang perlu diberi perhatian,” katanya.-Malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.