Vingada Bukan Ahli Silap Mata

KUALA LUMPUR – “Nelo Vingada bukan ahli silap mata nak buat perubahan sekelip mata. Kita kena beri beliau masa untuk membentuk pasukan,” kata pengurus skuad Harimau Malaya, Datuk Seri Subahan Kamal yang mempertahankan kedudukan Vingada selepas masih gagal mencatat sebarang kemenangan dalam empat perlawanan sejak dilantik Mei lalu.

Paling terbaru keputusan seri 1-1 dengan Hong Kong dalam aksi Kumpulan B Kelayakan Piala Asia 2019 di Larkin, Selasa lalu yang mencetuskan rasa tidak puas hati segelintir pihak mengenai prestasi anak buah jurulatih dari Portugal itu.

Subahan yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkata, walaupun gagal dalam misi memungut tiga mata di laman sendiri, skuad kebangsaan yang dikendalikan jurulatih itu berjaya menunjukkan peningkatan permainan.

“Mana-mana pasukan tidak boleh mengharapkan jurulatih baru membuat perubahan besar dalam tempoh dua atau tiga bulan. Ia agak mustahil. Pada saya, walaupun seri dengan Hong Kong, kita dapat lihat bagaimana pemain menguasai permainan dan melakukan banyak percubaan.

“Memang kita akui ada sedikit kelemahan dari segi penyudah, tapi ini sedang diatasi Vingada. Kita kena sedar, Hong Kong bukan pasukan 10 atau 20 tahun dulu, ranking mereka lebih baik (146) berbanding Malaysia (166). Malah Hong Kong juga seri 1-1 dengan Korea Utara dan memiliki 10 pemain naturalisasi jadi adalah tak adil untuk memperlekehkan keputusan kita seri dengan mereka.

“Sepatutnya ketika ini, kita semua kena beri sokongan kepada Vingada yang datang ke sini untuk membantu pasukan. Kita kena beri masa sekurang-kurangnya dua tahun kepadanya untuk membentuk pasukan mantap,” katanya kepada Arena Metro.

Vingada menerima kritikan banyak pihak termasuk bekas pemain kebangsaan Serbegeth Singh yang menganggap jurulatih yang digelar ‘The Professor’ itu melakukan kesilapan dalam pemilihan pemain dan taktikal dalam perlawanan menentang Hong Kong.

Vingada, bekas jurulatih kebangsaan Arab Saudi dan Jordan setakat ini masih mencari kemenangan pertama selepas kalah 1-2 kepada Lubnan dalam aksi kelayakan Piala Asia serta tewas 1-2 di tangan Syria dan Myanmar (0-1) dalam perlawanan persahabatan.

Kekalahan kepada Hong Kong meletakkan Malaysia kekal di tangga tercorot kumpulan dengan satu mata dan berdepan tugas lebih sukar bertandang ke Pyongyang menentang Korea Utara pada 5 Oktober ini.

“Saya masih menaruh keyakinan peluang kita masih ada untuk layak ke peringkat seterusnya. Kita akan cuba meraih seberapa banyak mata yang boleh selepas ini dan pastinya kita mahukan kemenangan apabila pergi ke Pyongyang nanti,” jelas Subahan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.