Penduduk Houston Hadapi Ancaman Penyakit, Ular, Buaya

HOUSTON – Penduduk Houston yang ingin pulang ke kediaman masing-masing dinasihatkan supaya memakai topeng pernafasan bagi mencegah jangkitan bakteria, selain berhati-hati dengan ancaman buaya dan ular.

Menurut Reuters, Ketua Bomba Houston, Samuel Pena mengeluarkan amaran itu berikutan masalah pembetungan yang dihadapi di Houston, lapor BH.

Selain itu, Pena turut menasihatkan penduduk Houston mendapatkan suntikan tetanus susulan taufan Harvey yang melanda negeri berkenaan.

“Keadaan jalan raya yang kering, bakteria yang ada di dalam sistem pembetungan akan terlepas ke udara dan ia boleh membahayakan pernafasan.

“Keadaan kini bertukar menjadi zon bahaya, selain ancaman buaya dan ular di dalam kediaman berikutan banjir,” katanya kepada penduduk dalam satu sesi taklimat di Hotel Westin Houston, semalam.

Sementara itu, Agensi Perlindungan Alam Sekitar (EPA) dan Suruhanjaya Kualiti Alam Sekitar Texas (TCEQ) berkata, lebih 450,000 penduduk yang mendiami kawasan pesisiran pantai Teluk Texas masih terputus bekalan air.

“Sebanyak 40 daripada 1,219 loji rawatan air masih tidak boleh digunakan, manakala 52 sistem air minuman tidak berfungsi.

“Keadaan itu menyebabkan kira-kira 70,000 penduduk tidak mempunyai bekalan air kerana sistem air minuman yang rosak atau tidak boleh digunakan,” kata jurucakap TCEQ. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.