Peluang Najib Jelaskan Isu Rohingya Pada Trump

Kuala Lumpur mahu memperkukuhkan lagi hubungan dua hala enam dekad dijalin dengan Washington dan mencartakan hala tuju apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melangkah masuk ke Pejabat Oval pada Selasa dan mengadakan pertemuan dengan Presiden AS Donald Trump.

Dan dengan semua mata kini tertumpu pada musibah yang berlaku di Rakhine, Myanmar, pertemuan di Rumah Putih itu menyediakan peluang terbaik untuk Malaysia membangkitkan penderitaan pelarian Rohingya kepada negara kuasa besar itu.

Ini antara perkara yang disentuh Duta Besar Malaysia di AS Tan Sri Zulhasnan Rafique semasa memberikan taklimat kepada media menjelang lawatan kerja Najib pada 11-13 Sept atas undangan Trump di Washington.

Ia juga membuka peluang kepada Malaysia untuk menyatakan pendiriannya dalam soal antikeganasan dan peranan dimainkannya dalam usaha memerangi keganasan, dan turut berkongsi kebimbangan dengan negara-negara lain berhubung masalah itu.

“Lawatan ini membuka peluang kepada perdana menteri untuk menekankan kepentingan Malaysia dalam perjuangan menentang keganasan, sebagai suara kesederhanaan dan pragmatisme serta sebagai negara majoriti Muslim yang dinamik dan progresif,” kata Zulhasnan.

Mengulas lanjut, Zulhasnan berkata Najib dijangka membawa isu masyarakat tertindas Rohingya bukan saja dalam pertemuan empat mata dengan Trump malah semasa perbincangan dua hala antara kedua-dua kerajaan.

Pentadbiran Trump nampak sedia

Kuala Lumpur memandang berat masalah penindasan terhadap etnik Rohingya dan memberi komitmen untuk membantu menangani krisis pelarian kaum itu yang kini dilaporkan mencecah 500,000 orang di Bangladesh.

Lawatan kerja Najib itu menjadikan beliau pemimpin kedua dari Asia Tenggara selepas Perdana Menteri Vietnam Nguyen Xuan Phuc untuk mengadakan pertemuan di Rumah Putih.

Menurut Zulhasnan, visi baru Malaysia iaitu Transformasi Nasional 50 (TN50) merupakan antara topik penting yang bakal dijelaskan kepada pentadbiran Trump dalam konteks merangka hubungan lebih erat antara kedua-dua negara.

“Ini merupakan peluang baik untuk bincangkan (dengan presiden baru). Negara kini mempunyai dasar baru, TN50… jadi sebaiknya kita bincangkan hala tuju negara kita untuk 30 tahun akan datang,” kata duta itu.

Zulhasnan berkata sepanjang lapan bulan menjadi duta di AS, beliau dapat melihat kesediaan pentadbiran Trump yang mahu mempertingkat hubungan perdagangan, lebih-lebih lagi selepas Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) tidak diteruskan.

Menurutnya, beberapa rundingan dengan pelbagai pemimpin perniagaan dan industri diatur semasa lawatan Najib untuk mengukuhkan lagi perkongsian perdagangan Malaysia-AS.

Pertemuan empat mata Najib dan Trump di Oval Office akan diikuti mesyuarat delegasi yang turut melibatkan Naib Presiden Mike Pence, Setiausaha Negara Rex Tillerson, Setiausaha Pertahanan James Mattis, Ketua Staf Jeneral John Kelly dan Penasihat Keselamatan Negara Lt Jeneral HR McMaster.

Delegasi Malaysia antara lain dijangka disertai Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed .- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.