Jenama Kutukan, Mentaliti Melayu

MENARIKNYA mengenai figura ini, selain gemar tampil unik dengan memakai sut kemas ala ‘gentleman’, berjambang dan bermisai lentik mengalahkan pelakon A Galak, Wak Doyok adalah antara selebriti yang boleh dikatakan cukup kental dan kebal dengan tempias peluru kutukan daripada rata-rata pembenci dirinya.

Sejak memulakan kariernya sebagai selebriti media sosial lima tahun lalu, seputar 360 darjah hidup Muhammad. Azwan Mohd. Nor ini tidak pernah lekang dengan kritikan dan kutukan orang.

 

Tidak pelik mana pun kerana kita semua sedia maklum, masyarakat kita agaknya lebih selesa berada dalam ruang negatif dan mencari salah orang.

Daripada isu penampilan, populariti sehinggalah isu dia didakwa gemar menunjuk-nunjuk kekayaan dan kemewahannya di media sosial.

Pendek kata, buatlah apa pun, Wak Doyok bagai sudah terperangkap dalam dunia kontroversi itu sendiri meski ada antaranya dia tidak berniat pun untuk meraih benci orang.

“Kongsilah apa sahaja di media sosial, tetap akan ada orang yang tak suka saya. Dituduh macam-macam, dikritik, kena kutuk, itu semua dah biasa saya terima. Apa yang saya belajar selama ini, kita memang tak boleh puaskan hati orang.

“Kita miskin pun orang kutuk, kita kaya pun orang kutuk juga,”katanya.

Mengaku tidak mudah marah dengan kata-kata buruk orang, lelaki berusia 37 tahun ini punya sebab mengapa memilih untuk berkongsi segalanya di media sosial dan antara sebab paling kukuh adalah mahu memberi inspirasi dan motivasi kepada anak muda di luar sana.

“Tunjuk rumah dan kereta mewah, itu bukan kerana mahu berlagak. Tetapi saya mahu memberi inspirasi kepada anak muda khususnya anak Melayu supaya bekerja dengan bersungguh-sungguh. Bukan senang nak capai impian kerana saya dahulu pun bermula dengan kesusahan.

“Saya juga ada beri ceramah atau menghadiri sesi perkongsian ilmu keusahawanan dan dapat dilihat, ramai antara anak Melayu kita ni sebenarnya berpotensi jauh dalam bidang bisnes.

“Cuma adakalanya mereka tersasar dari landasan kerana tidak fokus pada hala tuju yang sepatutnya,”kata anak kelahiran Klang, Selangor ini.

Menyorot kembali bagaimana dia membina namanya sehingga kini menjadi satu jenama yang unggul dalam bidang fesyen, produk dan kini menerobos masuk dalam dunia lakonan, Wak Doyok akui dalam kebaikan dan teraturnya perjalanan karier, ada ketika dia tidak boleh menghalang orang untuk bercakap apa sahaja mengenai dirinya.

Pandangan Wak Doyok cuma terarah pada satu, semua itu punya kaitan banyak dengan mentaliti masyarakat yang seakan masih berada di takuk lama.

“Orang hanya melihat pada ‘tabiat’ saya yang kononnya gemar menunjuk-nunjuk. Buat itu salah, ini salah, pendek kata semuanya dilihat ta betul di mata masyarakat.

“Sedih saya melihat keadaan ini kerana ia menunjukkan bertapa mentaliti itu tidak pernah berubah. Contohnya, masa saya buka kedai makan, kawan-kawan bangsa lain datang berikan ucapan tahniah, tetapi bila kawan-kawan bangsa sendiri datang, mereka kata ‘tak lama bisnes ni, dua tiga bulan lingkuplah’.

“Adakah itu satu sokongan? Bergurau? Entahlah, saya tak tahulah kalau itu dikatakan bergurau tapi apa yang pasti saya percaya, di sebalik kejayaan akan ada orang yang tak berpuas hati dan penuh hasad dengki dengan kita.

“Bagi saya, kita patut cuci minda anak-anak muda kita ni supaya lebih bijak dan ada kualiti. Jangan jadi minda kelas ketiga, tak kisahlah duduk di mana sekali pun, di bandar mahupun di luar bandar,”katanya.

Tunjuk rumah dan kereta mewah, itu bukan kerana mahu berlagak. Tetapi saya mahu memberi inspirasi kepada anak muda khususnya anak Melayu supaya bekerja dengan bersungguh-sungguh. Bukan senang nak capai impian kerana saya dahulu pun bermula dengan kesusahan.

Senjata perang

Memulakan langkah berani menceburi bidang lakonan menerusi filem Abang Long Fadil 2 arahan Syafiq Yusof, Wak Doyok mengaku sudah lama membuat persiapan diri, sejak dia merangka perjalanan kerjayanya sebagai seorang selebriti media sosial lagi.

Sejak lima tahun lalu, kata Wak Doyok yang turut mencipta populariti di Indonesia,Brunei dan Singapura, dia sudah ditawarkan untuk berlakon namun terpaksa menolak dengan cara baik kerana merasakan diri belum bersedia lantaran tidak memiliki sebarang asas lakonan.

“Dalam tempoh itu, saya banyak belajar sendiri, cara berlakon dan sebagainya. Biasalah, nak berperang kenalah ada senjata, bukan? Tak risau orang kritik sebab macam saya cakap, dah biasa dengan keadaan itu. Keutamaan saya pada kualiti lakonan kerana tahu bukan senang jadi pelakon ni.

“Pengalaman selama 55 hari berada di set penggambaran nyata membuka mata saya mengenai seni lakon. Sebagai orang fesyen, dunia lakonan tu tak sama dengan fesyen.

“Bila dah seronok berlakon, tak dinafikan, rasa ketagih pula. Kalau ada tawaran lakonan lain untuk saya lepas ni, apa salahnya. Tapi kena tengok juga mana yang bersesuaian,”katanya yang sebelum ini pernah terlibat membintangi program realiti bercorak jelajah santai, Ke Korea Ke Kita.

Menolak andaian bahawa Syafiq mengambilnya sebagai pelakon kerana populariti yang diraih sebagai seorang ikon fesyen terkenal tanah air, Wak Doyok meletak kepercayaan bahawa pengarah muda itu mahu menggilap bakatnya dalam bidang lakonan.

“Saya rasa Syafiq tahu apa yang dia mahukan dan saya rasa tak salah andai terbabit dalam filem ini yang mana kita semua tahu, penangan Syafiq juga tidak kurang hebatnya sebagai seorang pengarah. Seronok bekerja dengan Syafiq kerana dia boleh menerima pandangan orang lain, apalagi pelakon baharu macam saya,”katanya yang mencadangkan agar wataknya sebagai anak ketua mafia terkemuka negara punya kelas dalam penampilan bak filem Kingsman: The Secret Service.

10 wanita pulang ke rumah

Menyelak kisah cintanya dengan, Azrinaz Mazhar Hakim yang telah pun berakhir pada pertengahan tahun lepas, ternyata lelaki ini enggan lagi menoleh ke belakang. Menganggap tiada apa yang perlu diceritakan lagi, Wak Doyok mengaku hidupnya kini lebih tenang meski ada yang membuat spekulasi bahawa perpisahan itu berlaku kerana dia dikatakan terjebak dengan isu cinta songsang.

Menyifatkan tohmahan itu sesuatu yang mengarut, Wak Doyok sedar itu semua adalah sebahagian daripada asam garam kehidupan bila mana, ramai yang berlagak seakan lebih tahu daripada dirinya sendiri.

“Orang tengok saya ni tak pernah tunjuk siapa pasangan saya kecuali cinta lalu. Kalau nak tahu, saya ni jenis kalau nak berkenalan, akan bawa wanita itu berjumpa dengan ibu saya terlebih dahulu.

“Hampir 10 wanita sudah saya bawa bertemu dengan ibu di rumah. Ada yang ibu berkenan ada yang tidak. Bila dia suka, saya pula sebaliknya. Susah nak cari yang betul-betul menepati hajat kita.

“Saya nak cari wanita yang boleh jaga saya dan ibu. Saya percaya ada, cuma cepat atau lambat. Beginilah, Allah SWT itu Maha Kaya. Ada orang, diberikan kekayaan terlebih dahulu, tapi jodohnya lambat.

“Ada orang jodohnya cepat, tapi belum ada rezeki anak. Dalam hidup ini,perlu positif sahaja sebab saya pun sama macam orang lain, mahu berumahtangga dan ada keluarga,”katanya.

Wak Doyok yang menyukai kanak-kanak mengaku, dia cuma mampu menumpang kasih dengan anak-anak sekolah tahfiz yang berada di bawah penjagaannya di sebuah lokasi di Selangor.

“Tak cuma anak-anak tahfiz, ada anak-anak asnaf juga turut saya jaga dan anggap macam anak sendiri. Tak semua orang tahu mengenai hal ini kerana bagi saya tak perlu untuk ia digembar-gemburkan. Sebab itu saya tak peduli orang nak cakap buruk kerana saya tahu apa yang saya buat dan cuma keluarga dan teman rapat sahaja tahu siapa saya.

“Segala rezeki yang dimiliki pada hari ini sebenarnya adalah amanat dari Allah SWT untuk saya berikan semula kepada masyarakat. Satu yang saya pegang sebagai prinsip diri, kita semua adalah orang perantaraan yang Allah SWT jadikan untuk membantu satu sama lain,”katanya.-Utusan

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.