Isu Rohinya : Malaysia Disyor Ambil Tindakan ‘Bersendirian’

KUALA LUMPUR – Malaysia disyor mengambil tindakan ‘bersendirian’ membantu etnik Rohingya di Rakhine yang tersepit dengan asakan kekejaman dan tidak berperikemanusiaan kerajaan Myanmar.

Bekas Duta Khas Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke Myanmar, Tan Sri Syed Hamid Albar, berkata Malaysia juga boleh bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk OIC dan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC).

“Lebih baik kita menyahut tindakan menyelamatkan Muslim Rohingya secara bersendirian menggunakan kekuatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), khususnya tentera udara.

“Kerjasama dengan Bangladesh juga sangat baik kerana mereka dilihat tidak mempunyai kemampuan (ketenteraan dan bantuan) untuk bantu.

“Ketika ini, dunia nampaknya sedang terleka, kekejaman semakin serius. Jadi kita tidak boleh tunggu lagi untuk bantu Muslim Rohingya,” katanya kepada BH.

Pada masa sama, Syed Hamid menyarankan kerajaan menerima pelarian Rohingya untuk sementara atas dasar kemanusiaan.

Selain itu, beliau juga menggesa kerajaan menentukan tindakan yang boleh menekan Myanmar agar menghentikan kezaliman dan penganiayaan termasuk memberikan semula etnik Rohingya status kerakyatan negara itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam melancarkan Misi Kemanusiaan-Negaraku Prihatin bagi membantu pelarian etnik Rohingya di Bangladesh yang melarikan diri daripada penindasan di Myanmar.

Bantuan makanan dan keperluan seberat 12 tan itu, antaranya lampin pakai buang, tuala, beras dan biskut dihantar ke Chittagong dengan dua pesawat A400M Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari Pangkalan Udara TUDM Subang.

Selain itu, satu pasukan peninjau akan turut dihantar ke Dhaka esok untuk berbincang dengan kerajaan Bangladesh mengenai tindakan susulan yang boleh diambil dalam membantu pelarian etnik Rohingya.

Sementara itu, Pakar Geostrategis, Azmi Hassan, berkata penghantaran bantuan ke Bangladesh adalah isyarat keprihatinan yang cuba disampaikan Malaysia kepada dunia.

Katanya, walaupun dunia kurang peduli isu penindasan Muslim Rohingya, Kuala Lumpur mengambil tindakan bersendirian dan tanggungjawab membantu tanpa melalui ASEAN atau Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Nasib menimpa Rohingya tidak boleh dibiarkan berlarutan walaupun kemampuan kita agak terhad,” katanya.

Beliau berkata, penting memahami dasar bantuan itu adalah kerana kemanusiaan, supaya tidak terperangkap dengan strategi Myanmar yang cuba menutup kesalahan dengan menuding jari kononnya masalah itu berpunca daripada militan Islam.

Azmi berpendapat, Malaysia akan tetap menerima dan memberi ruang kepada pelarian Rohingya meskipun beberapa negara lain seperti Thailand menutup pintu sempadan mereka.

“Barat pula sudah tidak mahu terbabit menyelesaikan isu itu kerana enggan menerima pelarian Rohingya. Jadi, saya berpendapat Malaysia akan menerima pelarian Muslim Rohingya atas dasar kemanusiaan.

“Jika pelarian diurus dengan sistematik dan kerajaan mempunyai kawalan, saya percaya risiko terhadap kedaulatan dan keselamatan negara seperti pemberontakan pelarian Vietnam di Pulau Bidong dahulu, boleh dikurangkan,” katanya.

Beliau menyarankan pengurusan pelarian dilakukan dengan betul iaitu menerusi perundangan khusus seperti Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM).

“Namun, terima mereka (Muslim Rohingya) hanyalah penyelesaian sementara bagi mengelakkan malapetaka kemanusiaan tercetus. Penyelesaian jangka panjang adalah Myanmar mesti iktiraf Rohingya sebagai rakyat mereka.

“Selagi isu kerakyatan tidak diselesaikan, selagi itu isu ini berlarutan,” katanya.-BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.