Amanah Selangor Lulus Usul Minta Azmin Timbang Kedudukan PAS

Konvensyen Parti Amanah Negara (AMANAH) Selangor hari ini meluluskan usul supaya Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali menimbang semula kedudukan PAS di negeri itu.

Usul yang dicadangkan oleh Ketua AMANAH Kawasan Ampang Mohd Anuar Mohd Yusof diterima oleh perwakilan tanpa sebarang penolakan.

Anuar ketika membahaskan usul politik itu berkata, dengan adanya PAS dalam Kerajaan Negeri Selangor, parti itu boleh membantutkan usaha Pakatan Harapan (HARAPAN) memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Memandangkan tarikh pilihan raya semakin hampir, maka Konvensyen AMANAH Selangor mengusulkan agar Menteri Besar Selangor menimbang semula kedudukan PAS di dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor.

“Ia supaya keberadaan mereka yang terus di dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor tidak menjadi seperti duri dalam daging yang boleh mencacatkan usaha-usaha mempertahankan HARAPAN di Negeri Selangor pada PRU14 akan datang,” katanya.

Anuar berkata demikian ketika membacakan usul itu pada Konvensyen AMANAH di bangunan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) hari ini.

Sementara itu, Anuar ketika dihubungi Malaysiakini selepas itu mengesahkan usul berkenaan telah diluluskan ketika konvensyen dan ia kini dibawa di peringkat negeri.

Ia susulan daripada tindakan Majlis Syura Ulama PAS pada Mei lalu yang memutuskan kerjasama dengan PKR namun PAS Selangor mengekalkan khidmat tiga exconya dalam pentadbiran kerajaan negeri kerana ia merupakan mandat rakyat pada PRU13 lalu.

Tiga exco berkenaan ialah Datuk Iskandar Abdul Samad yang memegang portfolio Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar dan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi yang menyandang portfolio Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi dan Inovasi.

Turut dikekalkan ialah Zaidy Abdul Talib yang menyandang Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani.-Malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.