Tony Fernandes Dapat ‘Restu’ Teraju FAM

KUALA LUMPUR – Majoriti netizen bersetuju jika Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes menduduki kerusi panas jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia, yang bakal ditinggalkan Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah tahun depan.

 

Tinjauan SuaraTV menerusi laman sosial Facebook dan Twitter mendapati, walaupun banyak nama yang dicadangkan dan disebut-sebut sebagai pengganti ternyata Tony dilihat sebagai individu yang paling layak membantu meningkatkan ‘standard’ bola sepak negara.

 

Bagaimanapun, ada juga segelintir yang mempersoalkan adakah Tony benar-benar memiliki kredibiliti yang diperlukan untuk memimpin sebuah persatuan bola sepak, apatah lagi dengan pelbagai isu yang melanda FAM sejak kebelakangan ini.

 

Malah mereka turut berpendapat, memimpin organisasi bola sepak tidak sama dengan menerajui syarikat korporat.

 

Tambahan pula, Tony yang merupakan Pengerusi bersama, kelab Liga Perdana Inggeris, pasukan Queen Park Rangers itu memperlihatkan prestasi yang tidak menentu.

 

Terdahulu, Tony menyatakan kesediaannya mempertimbangkan jawatan itu jika ditawarkan. Pendapat itu diluahkan atas dasar beliau tidak terbabit dengan politik dan mempunyai minat mendalam dalam bola sepak dan statusnya sebagai ahli perniagaan yang berjaya sekali gus boleh membantu badan induk bola sepak itu dari segi kewangan dan penajaan.

 

 

Sebelum ini, Tengku Mahkota Johor, Tengku Ismail Sultan Ibrahim atau TMJ, pernah dicanangkan sebagai calon paling layak memimpin FAM.

 

Namun dalam temuramah bersama personaliti televisyen Harith Iskander dalam program Obviously Harith Iskander, beberapa minggu lepas, TMJ mengesahkan tidak akan bersaing merebut jawatan itu kerana mahu menumpukan perhatian kepada bola sepak di Johor.

 

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, dalam satu kenyataan memaklumkan, beliau menyerahkan kepada anggota FAM untuk menilai dan membuat keputusan berhubung kesediaan Tony memikul tugas itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.