RM650 Juta Taman Tugu Meliputi 4 Komponen Termasuk Penyenggaraan 10 Tahun

KUALA LUMPUR – Kos sebanyak RM650 juta untuk mewujudkan Taman Tugu meliputi 4 komponen termasuk penyenggaraan selama 10 tahun, kata Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), Tan Sri Azman Mokhtar.

 

Azman berkata kos tersebut tidak hanya difokuskan kepada komponen taman semata-mata sebaliknya ia juga termasuk pusat inovasi dan pembelajaran serta meningkatkan hubungan laluan di sekitarnya seperti yang dirancang.

 

“Kita akui ia satu jumlah yang besar. Kalau kita ambil kira kos untuk taman hanya suku saja daripada kos itu, manakala untuk pokok (penebangan dan penanaman semula pokok), 5% saja.

 

“Tetapi kita laburkan juga untuk komponen ‘connector’ (hubungan) yang kita rancang dan kos penyenggaraan untuk 10 tahun,” katanya kepada pemberita selepas program ‘Taman Tugu Public Engagement Sessions’ di sini semalam.

 

Kira-kira 300 peserta terdiri daripada orang awam menyertai sesi pertama yang diadakan di Mercu UEM, KL Sentral di sini, hari ini.

 

Projek Taman Tugu yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak Ahad lalu merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat Khazanah dalam mentransformasikan kawasan hutan sekunder di belakang Tugu Negara menjadi taman rimba kota.

 

Ia juga melibatkan usaha meningkatkan hubungan laluan pejalan kaki antara Taman Tugu dan kawasan sekitarnya termasuk dek utama yang menghubungkan KL Sentral ke Taman Botani Perdana melalui Muzium Negara.

 

Projek di atas tanah seluas 26.7 hektar itu yang bertujuan menambah tempat riadah serta menyediakan ruang ilmu dan pembelajaran interaktif mengenai alam sekitar menelan kos RM650 juta yang mana 75% atau RM500 juta akan dibiayai Khazanah.

 

Sementara itu, Azman berkata kos tersebut juga melibatkan komponen inovasi dan ruang ilmu serta pembelajaran mengenai alam sekitar yang melibatkan beberapa bahagian termasuk galeri ilmu.

 

“Boleh saja jika kita mahu tanam pokok semata-mata, tetapi pada hemat kami lebih elok jika kita sediakan akses untuk memperbaiki ilmu (seperti perhutanan dan alam sekitar).

 

“Khazanah akan memastikan kos yang dilaburkan dalam mewujudkan Taman Tugu bermanfaat kepada seluruh lapisan masyarakat di negara ini,” katanya.

 

Sementara itu, Azman berkata Khazanah akan meneruskan sesi pertemuan bersama pelbagai pihak dan orang awam melalui 8 lagi sesi yang akan diadakan termasuk program ‘Rakyat Touch Point Interactive Information and Feedback Booths’ yang akan diadakan di The Gardens, Mid Valley dan KL Sentral.

 

Sesi kedua akan berlangsung esok bermula pukul 10 pagi di Mercu UEM, KL Sentral. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.