Isu RUU : NGO Minta Semua Pihak Harus Peka Pindaan RUU

SHAH ALAM – Pertubuhan Jati dan Yayasan Murni Aqiqah (YMA) memandang serius perbincangan isu Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah dan Syariah (Pindaan Akta 355).

 

 

Presiden Jati, Prof Datuk Dr Mohd Zainul Fithri Othman berkata, selagi isu ini tidak dikupas dalam konteks yang menyeluruh serta wujudnya kelemahan dari segi pendekatan dakwah, ia boleh menimbulkan salah faham sekali gus menjadi pendebatan berterusan di kalangan ahli-ahli politik, para ulama dan juga rakyat.

 

 

“Proses kelulusan Pindaan RUU sesebuah akta di Parlimen perlu difahami oleh semua pihak yang peka dengan isu ini supaya tidak wujud salah bicara dan juga kenaifan akibat tidak memahami keseluruhan proses ini.

 

 

“Langkah-langkah intensif dan membina dalam menjelaskan unsur-unsur dalam perundangan Islam secara lisan, tulisan dan visual juga mesti segera dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, kelmarin.

 

 

Sementara itu, menurut Pengerusi YMA, Datuk Aidit Ghazali, penerangan yang berimpak harus dilaksanakan bersama dengan semua pihak yang berkaitan supaya tidak berlaku perkara yang boleh menjejaskan keharmonian negara.

 

 

Tambahnya, penerangan yang bersifat impak jangka pendek dan jangka panjang terhadap usul cadangan pindaan ini jika diluluskan mesti dilaksanakan bersama semua pihak yang berkaitan.

 

 

“Termasuklah setinggi-tinggi peringkat Majlis Raja-Raja hingga ke peringkat rakyat jelata supaya tidak berlaku kata-kata, buah fikiran dan tindakan yang boleh menjejas segala hak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, Kuasa Raja-raja mahupun tuntutan segi hukum Syarak.

 

 

“Kajian menyeluruh berkaitan dengan permasalahan yang wujud dalam sistem perundangan di negara ini perlu ada untuk menghasilkan cadangan yang objektif,” katanya.-SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.