Polis Nasihat Penganjur Perhimpunan Baju Merah Pilih Tempat Sesuai

GEORGE TOWN – Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menasihatkan penganjur ‘Perhimpunan Rakyat Bersatu’ yang dijadual berlangsung di ibu negara 16 Sept ini supaya memilih tempat yang bersesuaian demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

 

Beliau berkata polis tidak membenarkan perhimpunan itu di ibu negara atas faktor keselamatan, ketenteraman dan kesejahteraan penduduk warga kota.

 

“Ia akan mengganggu banyak pihak termasuk peniaga, pelancong dan pemandu teksi,” katanya pada sidang media selepas istiadat penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara sempena ulang tahun ke-77 Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas.

 

Sebanyak 136 penerima yang berkhidmat ketika zaman darurat menerima pingat itu di Dewan Sri Pinang di sini hari Rabu.

 

Media melaporkan ‘Himpunan Rakyat Bersatu’ dijadual berlangsung pada 16 Sept dan 10 Okt di Bukit Bintang dan Jalan Petaling di Kuala Lumpur.

 

Perhimpunan itu diadakan sebagai tindak balas dan protes terhadap perhimpunan Bersih 4 di sekitar Dataran Merdeka yang dikatakan mengganggu perniagaan di kawasan tumpuan orang Melayu di ibu kota pada 29 dan 30 Ogos lepas. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.