Perkasa Tak Halang Ahli Sertai Perhimpunan Baju Merah

PETALING JAYA – Ahli Persatuan Pribumi Perkasa (Perkasa) tidak dihalang menyertai perhimpunan Baju Merah pada 16 September ini bagi menghormati kebebasan bersuara setiap rakyat Malaysia.

 

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali bagaimanapun menegaskan, ahli Perkasa perlu tanggung sendiri jika diambil tindakan oleh pihak berkuasa pada perhimpunan itu.

 

“Kalau ahli-ahli Perkasa mahu berhimpun itu hak dia. Mereka nak pergi…pergilah, kita tak boleh halang.

 

“Kita Perkasa menghormati hak rakyat untuk berhimpun dan bersuara tetapi mesti berpandukan kepada lunas undang-undang,” katanya kepada FMT.

 

Ibrahim berkata, walaupun Perkasa tidak mempunyai masalah dengan perhimpunan itu namun pihaknya tidak terlibat dengan penganjurannya.

 

“Saya berharap penganjur perhimpunan ini mematuhi semua syarat yang ditetapkan polis supaya ia berjalan lancar dan tidak memberi kesan negatif kepada orang lain,” katanya.

 

Sebelum ini, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut tidak menghalang ahli parti itu menyertai perhimpunan Baju Merah kerana menghormati hak demokrasi.

 

Penganjur perhimpunan Baju Merah itu akan mengadakan sidang akhbar di Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru pada Khamis. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.