MP DAP ‘Berperang’ Dengan Azmin Ali

Kuala Lumpur – Dua tokoh DAP hari ini memperingatkan ‘dosa-dosa’ yang telah dilakukan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berikutan kenyataan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali bahawa PKR mahu meneruskan kerjasama dengan PAS apabila gabungan baru parti pembangkang ditubuhkan kelak.

 

Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh hari ini mahu Azmin supaya menyatakan pendirian jelas sama ada PKR akan terus bekerjasama dengan PAS kerana ia akan menentukan keanggotaan gabungan parti pembangkang yang bakal menggantikan Pakatan Rakyat.

 

Katanya, Azmin tidak boleh terus mengenepikan kekhuatiran kepemimpinan DAP terhadap minat PKR untuk terus bekerjasama dengan parti Islam itu.

 

“PAS secara jelas telah memutuskan hubungan dengan DAP. Tidak mungkin boleh bekerja serentak dengan DAP dan PAS sedangkan kedua-dua parti itu tidak ada lagi kerjasama,” kata Ramkarpal dalam satu kenyataan.

 

Katanya, Azmin yang juga Menteri Besar Selangor mesti mengambil kira kesukaran untuk bekerja dengan PAS yang mengikut tokoh DAP itu berkemungkinan besar akan menentang kedua-dua bekas sekutunya pada pilihan raya umum ke-14.

 

Ramkarpal juga mendakwa Abdul Hadi adalah penyebab berlakunya perpecahan dalam Pakatan Rakyat serta punca golongan progresif PAS keluar beramai-ramai dari parti itu lalu menubuhkan Parti Amanah Negara.

 

Beliau juga menegaskan Abdul Hadi pernah berkata PAS tidak akan mengambil bahagian dalam undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan ahli PAS tidak dilarang daripada menyertai perhimpunan 16 September.

 

“Dengan latar belakang ini, saya menyeru Azmin menyatakan dengan jelas sama ada PKR komited bekerjasama dengan PAS dalam gabungan baru parti pembangkang kerana jika ia, keanggotaan gabungan baru itu perlu dipertimbang semula dengan segera.

 

“Perhubungan di antara PAS dan DAP sudah tidak boleh diperbaiki dan itu realiti yang perlu diterima oleh Azmin serta PKR.

 

“Azmin perlu memutuskan untuk bekerjasama dengan PAS atau DAP pada masa depan kerana tidak akan wujudkan pakatan lagi di antara PAS dan DAP,” kata Ramkarpal.

 

Isu kerjasama itu juga mencetuskan ‘peperangan’ di media sosial di antara Azmin dan Penolong Setiausaha Publisiti DAP, Teo Nie Ching.

 

Teo menempelak MB Selangor itu dalam satu posting di Facebook hari ini kerana menyifatnya sebagai kebudak-budakan dalam Twitter.

 

“Inilah MB Selangor kita. Apabila Hadi enggan menyokong Kak Wan sebagai MB Selangor, beliau tidak memanggilnya kebudak-budakan.

 

“Apabila Hadi berkata PAS akan bertanding di kawasan dikuasai DAP, beliau tidak memanggilnya kebudak-budakan.

 

“Apabila saya membangkit persoalan yang merumitkan beribu-ribu penyokong, beliau memanggil saya kebudak-budakan,” kata Ahli Parlimen Kulai dengan memuatnaik perbualan Twitter di antara beliau dan Azmin.

 

Teo merujuk kepada kenyataan dibuat oleh Abdul Hadi, termasuk keputusan beliau menolak Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai MB Selangor baru.

 

Azmin yang juga timbalan Dr Wan Azizah dilihat lebih terbuka kepada meneruskan perhubungan dengan PAS walaupun parti Islam itu sudah tidak lagi berbaik dengan DAP.

 

‘Peperangan’ itu tercetus apabila Teo mengkritik kenyataan Azmin Selasa lalu bahawa PKR mengambil keputusan kolektif untuk meneruskan kerjasama dengan PAS apabila gabungan baru parti pembangkang diwujudkan.

 

Pemimpin DAP itu mengeluarkan dalam Twitter pautan kepada laporan berita memetik Hadi sebagai berkata PAS tidak menolak kemungkinan menyertai perhimpunan dianjurkan oleh kumpulan “Baju Merah” pada 16 September.

 

“MB Selangor, inikah rakan politik yang anda cari?” kata Teo dengan nada angkuh.

 

Azmin membalas dengan berkata, jangan menjadi kebudak-budakan.

 

“@TeoNieChing janganlah kebudak-budakan! Keadilan sentiasa menjadi penggerak utama untuk memperkukuhkan gabungan bagi menghadapi Umno dan BN,” beliau menulis.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.