Insiden Kekecohan Di Stadium 
Shah Alam Mungkin Dirancang, Kata Polis

SHAH ALAM – Polis tidak menolak kemungkinan insiden membaling suar, mercun dan bom asap ketika perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di antara Malaysia dan Arab Saudi di Stadium Shah Alam, malam tadi telah dirancang dengan teliti oleh pihak-pihak yang terlibat.

 

Perkara itu dinyatakan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat susulan semakan ke atas telefon bimbit milik 11 orang suspek yang ditahan malam tadi yang dikesan berkomunikasi serta mengatur pergerakan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) dan aplikasi WhatsApp.

 

Menurutnya, kesemua suspek berusia antara 19 dan 36 tahun itu telah ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh termasuklah mencari 20 lagi individu yang dikaitkan dengan insiden tersebut bagi membantu siasatan.

 

“Kita telah merampas telefon bimbit mereka (11 suspek yang ditahan) dan didapati mereka ada mengatur pergerakan,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini semalam.

 

Shafien menjelaskan, daripada 11 suspek yang ditahan, lima daripadanya merupakan pelajar daripada institusi pengajian tinggi awam dan swasta manakala selebihnya bekerja sendiri serta pekerja di sektor swasta.

 

Ujarnya, dua daripada mereka disahkan memiliki rekod jenayah lampau iaitu di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri.

 

“Hasil penahanan tersebut, kita menemukan kerusi plastik, topeng muka, telefon bimbit, mercun, suar dan bom asap. Kita percaya bahan-bahan tersebut tidak dibawa oleh suspek ketika memasuki stadium berkenaan.

 

“Bagaimanapun, kita masih meneruskan siasatan mengenai perkara itu termasuk kemungkinan barangan terlarang tersebut diletakkan lebih awal di stadium berkenaan atau dibawa masuk oleh penjual air yang tidak memasuki pintu tiket,” katanya.

 

Menurut Shafien, kesemua suspek ketika kejadian berada dalam kalangan kelompok kumpulan penyokong Ultras Malaya, melawan ketika ditahan.

 

Dalam pada itu, beliau memberitahu, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan semua agensi yang terlibat termasuk Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengenai perkara tersebut selain mencari pendekatan yang lebih efektif bagi membendung insiden sama daripada berulang. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.