Azmin Bidas MP DAP, Jangan Jadi ‘Budak-Budak’

Kuala Lumpur – Ekoran mengajukan soalan berbentuk provokasi menerusi Twitter, ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching ditempelak oleh Timbalan Presiden PKR.

 

Mohamed Azmin Ali yang juga Menteri Besar Selangor menyuarakan kemarahannya dan menyifatkan wakil rakyat DAP itu sebagai keanak-anakan apabila mengusiknya berkaitan kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

 

Teo mulanya menujukan satu soalan kepada timbalan Azmin tentang kenyataan Hadi yang dilaporkan tidak menghalang mana-mana ahli PAS menyertai Himpunan Maruah Melayu atau ‘demonstrasi baju merah’ pada 16 September ini.

 

“MB Selangor, adakah ini sekutu politik yang anda cari?” tanya Teo menerusi akaun Twitter beliau @teoniechin.

 

Azmin baru-baru ini yang memperlihatkan kesungguhannya apabila mahu PAS menyertai Pakatan Rakyat 2.0, walaupun tidak dipersetujui DAP dan Parti Amanah Negara.

 

“@teonieching jangan jadi macam budak-budak sangat!

 

“Keadilan (panggilan PKR apabila merujuk kepada parti mereka) sentiasa menjadi penggerak utama memperkukuhkan pakatan menghadapi Umno dan Barisan Nasional,” tulis Azmin menerusi akaun @azminali malam tadi.

 

Untuk rekod, ramai berpendapat Himpunan Maruah Melayu sengaja dianjurkan untuk mencetuskan dan menunjukkan sikap perkauman dan bakal mencetuskan provokasi apabila posternya memaparkan bayang seorang lelaki bertanjak melompat di udara dengan parang terhunus di tangan.

 

Ia berlangsung di kawasan Jalan Petaling, Padang Merbok dan Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada 16 September dan 10 Oktober ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.