Supermokh ‘Hadir’ Beri Nasihat Lakonkan Dirinya Dengan Baik – Awie

Kuala Lumpur – Akibat terlalu sukar untuk mendalami watak Datuk Mokhtar Dahari yang perlu dibawakan di teater Supermokh, Awie mengakui beliau termimpikan lagenda bola sepak negara itu yang mana banyak memberikan bantuan kepadanya sebagai rujukan dalam mendalami watak tersebut.

“Mimpi ini hadir ketika pementasan Supermokh pada tahun lalu di mana saya terlalu banyak buat kajian mengenai lagenda bola sepak tersebut. Dalam mimpi tersebut, Supermokh sedang duduk di kerusi dan berbual dengan saya memberikan nasihat untuk melakonkan dirinya dengan baik”

”Saya kemudiannya telah menceritakan kepada ahli keluarganya bertanyakan kebenaran karakter beliau dalam mimpi tersebut. Mereka kemudiannya mengiyakan karakter peribadi Supermokh itu yang tidak diketahui umum. Walaupun Supermokh dilihat garang dari luaran, tetapi dia merupakan seorang yang begitu penyayang dengan ahli keluarganya,” ujar Awie.

Awie turut berkata kerana ahli keluar Mokhtar Dahari sangat gembira dengan lakonan beliau yang terdahulu, ianya kini seakan tekanan buat dirinya untuk buat yang lebih baik dan berharap pemain bola sepak itu boleh hadir lagi dalam mimpinya namun tidak kesampaian.

“Mereka memuji gandingan saya dan Maya serta menyukai lakonan kami jadi ia membuatkan saya agak ‘pressure‘ bagi memberikan yang terbaik. Saya mewarnai karakter Supermokh yang serius itu menjadi manja dan romantis”

”Saya dan Maya memang melakonkan watak Supermokh dan isteri seperti yang digambarkan oleh saudara terdekat mereka. Jadi adegan-adegan seperti duduk di riba itu sememangnya terjadi dan bukan ditokok tambah oleh kami,” tambah Awie lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.