Calon UPSR Dicabul Pemandu Teksi

Bukit Mertajam – Seorang calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di daerah ini yang ingin ke kelas tambahan dua hari lalu sebagai persiapan terakhir menghadapi peperiksaan berkenaan menempuh detik hitam apabila dicabul pemandu teksi yang diberi kepercayaan oleh keluarganya sendiri untuk menghantarnya ke pusat tuisyen.

Difahamkan pemandu teksi berkenaan yang berusia 40-an telah direman malam tadi di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah (SPT) selama empat hari untuk membantu siasatan.

Timbalan Ketua Polis SPT, Supritendan Baharom Abu ketika dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan kejadian itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Ujarnya, mangsa juga telah dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk menjalani pemeriksaan dan hadir ke IPD sejurus selepas menduduki UPSR hari ini bagi proses pengecaman suspek.

Sementara itu, menurut sumber polis, kejadian berlaku di rumah mangsa di Machang Bubuk ketika ibu bapa mangsa tiada di rumah.

Katanya, pada hari kejadian, suspek telah diminta menghantar mangsa ke pusat tuisyen yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari rumahnya.

“Sebelum menaiki teksi, mangsa mengadu sakit perut dan suspek menawarkan bantuan untuk mengubatinya dan menyuruh mangsa masuk ke dalam rumah,” ujarnya.

Ketika kejadian katanya, hanya terdapat kakak mangsa yang berada di rumah dan apabila masuk ke dalam bilik, suspek terus mencabul kanak-kanak itu.

Menurutnya, suspek yang terkejut kemudian melarikan diri dan kejadian itu dimaklumkan kepada ibu bapa mangsa yang kemudian membuat laporan polis.

Katanya, polis berjaya memberkas suspek di rumahnya malam tadi kira-kira pukul 9 malam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.