Anwar nak dengar sendiri alasan Ramasamy tinggalkan DAP

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mendapatkan pandangan sebenar bekas Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang Dr P Ramasamy yang melepaskan semua jawatan dalam DAP dan mengumumkan keluar daripada parti itu hari ini.

“Dia sahabat saya, saya akan dapatkan pandangan dia, dia faham desakan dan keadaan kita… mungkin ada beberapa masalah khususnya parti (DAP).

“Tapi saya harap dia (masih) main peranan konstruktif membantu kerajaan dengan pendekatan Madani ini,” katanya lapor Bernama pada Khamis.

Media hari ini melaporkan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perai itu sudah mengutus surat bagi tujuan melepaskan jawatannya kepada Setiausaha Agung DAP Anthony Loke dan Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow, masing-masing pada pukul 8.24 dan 8.25 pagi ini.

“Ini adalah keputusan paling berat yang pernah saya lakukan,” kata Ramasamy

Katanya, keputusan itu dibuat selepas mempertimbang faktor pimpinan DAP Pusat terlalu bergantung kepada ‘maharaja’ yang menjadi punca krisis kepimpinan DAP Pulau Pinang.

Beliau mengakui belum berhasrat menyertai mana-mana parti politik sedia ada mahupun menubuhkan parti baharu, selain menegaskan akan terus menyokong gabungan Pakatan Harapan (PH), terutama kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kon Yeow.

“Keputusan meninggalkan DAP sangat sukar kerana sudah menganggotai parti ini sejak 2005, selain mula aktif (dengan DAP) sejak masih berkhidmat di Universiti Kebangsaan Malaysia lagi.

“Namun, DAP bukan lagi parti dikenali ketika itu dan semakin kurang menghargai perbezaan pendapat dan sikap keterbukaan dari dalaman parti. Mereka yang bersuara menentang kerajaan dipandang sebagai pengacau serta pengganggu.

“Malah, senarai calon dikemukakan Kon Yeow diketepikan, selain ada kemungkinan beliau tidak memegang jawatan Ketua Menteri untuk tempoh sepenggal, walaupun sudah diberi jaminan oleh pemimpin parti peringkat nasional,” katanya.

Ramasamy dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri II selepas menang di Parlimen Batu Kawan dan DUN Perai pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12), pada 2008 dan berkhidmat sebagai wakil rakyat Perai selama 15 tahun.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat