Lima Sekeluarga Maut Dalam Kemalangan Tiga Kenderaan

ALOR GAJAH – Lima sekeluarga antara enam mangsa yang maut selepas dua pacuan empat roda dan sebuah treler terbabit kemalangan dalam kejadian di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) Jelatang di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, kesemua enam mangsa maut di lokasi kejadian akibat tersepit manakala seorang lagi parah.

Mangsa yang maut adalah pemandu Isuzu D-Max, Azahar Ahmad, 57; isterinya Halimahtun Aris Padzil, 24; kakaknya Habibah Ahmad, 62, serta dua anaknya Alia, 17 dan Alissa, 15.

Kesemua mereka dikatakan dalam perjalanan dari Yong Peng, Johor ke Brisu, Alor Gajah untuk menyambut Aidiladha.

Turut maut, pemandu Mitsubishi Triton, Wang Chow Kuang, 51, dan anak perempuannya pula yang berusia 20 tahun parah.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan A Asmadi Abdul Aziz, berkata kemalangan itu membabitkan tiga kenderaan termasuk sebuah treler kosong.

Beliau berkata, sebelum kemalangan, Mitsubishi Triton dalam perjalanan dari arah Simpang Ampat menghala ke Alor Gajah manakala Isuzu D-Max dan trelar dari arah bertentangan.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila Mitsubishi Triton berkenaan hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan lalu merempuh Isuzu D-Max dinaiki lima beranak.

“Treler yang dipandu lelaki berusia 46 tahun turut dirempuh Mitsubishi Triton sebelum terbabas ke kiri bahu jalan,” katanya.

Beliau berkata, mangsa kemudian dibawa keluar oleh pasukan bomba.

“Kesemua mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka bagi proses bedah siasat dan mangsa yang parah turut dihantar ke hospital sama.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 selain kesemua kenderaan yang terbabit ditahan untuk dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM),” katanya.

Asmadi berkata pihaknya turut mengingatkan kepada semua pengguna jalan raya supaya mengutamakan keselamatan dalam pemanduan. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.