Wakil Rakyat PKR Hilang Kepercayaan Pada Pengerusi PKR Perlis

KANGAR – Suasana menjelang pemilihan PKR di Perlis mulai panas apabila wakil rakyat parti itu hari ini secara terbuka menyatakan hilang kepercayaan kepada Pengerusi PKR negeri, Mohammad Faisol Abd. Rahman.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sena, Asrul Nizan Abd. Jalil berkata, terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan mereka dan kebanyakan anggota parti hilang keyakinan dan kepercayaan kepada Mohammad Faisol yang sudah dua penggal memegang jawatan tersebut.

Katanya yang juga calon Ketua PKR Cabang Arau, salah satu faktor ialah Mohammad Faisol sepanjang memegang jawatan Pengerusi PKR telah gagal menyatupadukan anggota parti selain lebih gemar mengikut kehendaknya sendiri tanpa menghiraukan pandangan serta pendapat orang lain.

“Beliau (Mohammad Faisol) juga sering mengeluarkan kenyataan tanpa mengambil kira pandangan pemimpin lain termasuk ketika menyatakan pendirian menyokong Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Timbalan Presiden baru-baru ini.

“Malah, Pengerusi PKR negeri juga telah gagal menyediakan jentera dalam pilihan raya baru-baru ini. Antara faktor kemenangan kami dalam pilihan raya itu adalah atas bantuan Invoke di samping kepercayaan rakyat,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Sebelum ini, wakil rakyat PKR di negeri ini menyangkal keras kenyataan Mohammad Faisol yang menyatakan pendirian bahawa PKR Perlis menyokong Mohamed Azmin sebagai Timbalan Presiden parti itu.

Sebaliknya mereka yang bersama dalam pasukan reformasi 20 tahun yang diperkenalkan Rafizi Ramli itu menyokong penuh Naib Presiden PKR tersebut bergandingan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mengemudi parti itu selepas ini.

Selain Asrul Nizan, mereka yang menyokong Rafizi sebagai Timbalan Presiden itu ialah calon Ketua PKR Cabang Kangar, Noor Amin Ahmad (Ahli Parlimen Kangar); calon Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Kangar, Nor Azam Karap (ADUN Kuala Perlis) dan calon Ketua PKR Cabang Padang Besar, Amran Kamarudin.

Sementara itu, Asrul Nizan turut mempersoalkan tindakan Mohammad Faisol yang memilih bertanding jawatan Timbalan PKR Cabang Arau dan bukannya merebut jawatan ketua.

“Sebagai Pengerusi PKR negeri, beliau sepatutnya bertanding ketua bukannya sekadar timbalan. Malah dalam pemilihan sebelum ini Mohammad Faisol juga hanya memilih bertanding jawatan Ahli Jawatankuasa,” katanya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.