Siti Kasim Bising Lagi, Ajak Berdialog Tak Nak – Dr Asri

KUALA LUMPUR – Mufti Perlis Prof.Madya Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin sekali lagi mengajak peguam kontroversi, Siti Kasim untuk berdialog secara terbuka berkaitan isu golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).

Mohd Asri berkata, pihaknya pernah menjemput Siti Kasim untuk hadir ke majlis dialog terbuka tentang isu Islam yang ditimbulkan di Malaysia namum Siti Kasim enggan dengan alasan-alasan tertentu.

Menurut beliau, Siti Kasim sekali lagi bising kali ini berkaitan LGBT dan bahasa yang digunakan Siti Kasim sangat tidak matang.

“Hari ini beliau bising lagi pasal LBGT seakan akan undi beliau dan golongan LGBT sahaja yang menyebabkan kerajaan hari ini memerintah.

“Sangat tidak matang cara bahasa dan gaya yang dipertontonkan. Apatah lagi jika mahu diukur dari nilai budaya timur dan Nusantara kita yang santun dan berbudi bahasa. Sangat janggal. Bimbang jika watak seperti itu dilihat oleh anak-anak kita yang masih mentah,” kata Mohd. Asri dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd. Asri berkata, dialog adalah sesuatu yang adil dilakukan dan selaras dengan semangat Malaysia baharu yang ingin menjadikan dialog matang sebagai pentas penyuburan pemikiran rakyat.

Beliau berharap ada pihak yang boleh menganjurkan dialog tersebut dan percaya terdapat ramai tokoh ataupun aktivis masyarakat yang boleh dipilih untuk mewakili suara majoriti rakyat yang tidak menerima LGBT.

Mohd. Asri berkata, jika tiada penganjur, Perlis sudi menjemput Siti Kasim untuk dialog secara terbuka dan adil. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.