Kerajaan Tetap Laksana Skim Insuran Kesihatan, 5 Peratus Gaji Akan Dipotong

IPOH – Kementerian Kesihatan tetap akan memperkenal Skim Insurans Kesihatan yang dilaksanakan melalui caruman daripada gaji rakyat.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye berkata, tidak lebih daripada lima peratus gaji akan dikutip untuk melaksanakan skim tersebut.

Beliau tidak menafikan bahawa golongan berpendapatan lebih tinggi perlu mencarum lebih banyak kepada skim insurans itu.

“Negara maju yang melaksanakan rancangan seumpama telah mengguna pakai ‘mekanisme bersama’ iaitu masing-masing kerajaan dan pesakit menanggung kos perubatan.

”Jika kos perubatan ialah RM1,000, maka pesakit perlu menanggung RM50 atau RM100,” katanya kepada Nanyang Siang Pau.

Kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini cuba melaksanakan program 1Care 1Malaysia selepas merujuk program insurans yang dilaksanakan di Taiwan dan beberapa negara lain.

Konsep 1Care itu membabitkan sumbangan kerajaan, swasta dan rakyat itu mengecualikan bayaran untuk golongan berpendapatan rendah, tetapi ia tidak berjaya dilaksanakan.

Pada masa ini, kerajaan menanggung 98 peratus daripada kos perubatan pesakit di negara ini.

Boon Chye berkata, sekiranya skim insurans dilaksanakan, maka hanya mereka yang memiliki kad perubatan kerajaan layak mendapat perubatan.

“Program ini baik dan pasti akan dilaksanakan, cuma masanya yang belum ditentukan,” katanya.

Beliau berkata, cadangan kerajaan semasa ialah supaya kutipan daripada golongan berpendapatan rendah haruslah percuma atau melibatkan sedikit bayaran manakala golongan berpendapatan tinggi perlu membayar lebih.

“Dengan kad perubatan, setiap orang akan dapat membelanjakan sejumlah kos perubatan dalam setahun.

“Mereka boleh memilih untuk mendapatkan rawatan di hospital kerajaan atau swasta,” katanya. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.