Dulu KM P.Pinang Bantah, Kini Sokong Pula – Persatuan Penduduk

GEORGE TOWN – Persatuan Penduduk Tanjung Bungah (TBRA) hari ini mendakwa Ketua Menteri, Chow Kon Yeow tidak konsisten dalam usaha menangani masalah kesesakan lalu lintas di Pulau Pinang dengan membantah projek Lingkaran Luar Pulau Pinang (PORR) dahulu, tetapi kini menyokong projek Lebuhraya Pan Island Link 1 (PIL 1).

Pengerusi TBRA, R Meenakshi berkata semasa pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 2002, Chow antara pembangkang yang membantah PORR.

Beliau mempersoalkan kenapa Chow kini menyokong PIL 1, sedangkan jajarannya lebih kurang sama dengan jajaran PORR oleh kerajaan BN terdahulu.

“Chow menyokong seruan NGO ketika itu untuk membantah projek PORR yang bernilai RM5 bilion, tetapi kini beliau sendiri menyokong PIL 1 yang akan merosakkan alam sekitar,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, Chow sebagai ahli Parlimen Tanjong pernah berhujah ketika Pameran Kesedaran Orang Awam anjuran DAP Pulau Pinang yang PORR bertukar menjadi projek naungan politik kerana keberkesanan dalam menangani masalah kesesakan lalu lintas di negeri ini amat diragui.

Terdahulu, Meenakshi bersama lebih 50 ahli NGO, termasuk bekas Adun Batu Uban, T Jayabalan, bekas Adun Tanjung Bungah, Teh Yee Cheu, bekas ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Dr Lim Mah Hui dan Penasihat Chant Group, Yan Lee mengadakan demonstrasi aman di depan Dewan Undangan Negeri untuk membantah PIL 1.

Sementara itu, ahli jawatankuasa gabungan pertubuhan masyarakat, Penang Forum, Khoo Salma Nasution meminta kerajaan negeri mendedahkan semua pelan dalam Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) supaya maklumat itu dapat dinilai badan global bebas.

Beliau berkata, pemimpin Pakatan Harapan negeri dalam Buku Harapan berhasrat mengurangkan pengguna kereta persendirian dalam usaha mengurangkan penghasilan karbon di negeri ini.

“Saya ingin tahu adakah PIL 1 dan PTMP boleh mengurangkan penghasilan karbon di negeri ini dan melindungi alam sekitar? Harapan kami agar kerajaan negeri dapat menunaikan janji mereka dan menyemak semula PTMP.”

Beliau berkata, hanya sistem pengangkutan negeri yang menyeluruh dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas dan penghasilan karbon di negeri ini.

Projek PIL 1 dijadualkan dilaksana dalam fasa pertama PTMP yang bernilai RM46 bilion.

PTMP adalah inisiatif kerajaan negeri yang merangkumi pembinaan terowong dasar laut, lebuh raya serta LRT dan monorel, selain jaringan perhubungan bas yang luas di tanah besar serta bahagian pulau. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.