Abdul Hadi Bidas Penceramah PAS Masih Serang UMNO

MARANG – Datuk Seri Abdul Hadi Awang membidas sikap sesetengah penceramah PAS yang masih ‘ligat’ menyerang UMNO seolah-olah parti itu masih lagi memegang tampuk pemerintahan negara.

Sambil memberi bayangan akan bekerjasama dengan UMNO, Presiden PAS berkata, ahli parti itu perlu sedar dan mengambil langkah memilih pihak mana yang lebih baik untuk mempertahankan kuasa politik umat Islam.

“Terdapat kalangan penceramah PAS duduk hentam UMNO… UMNO dah kalah teruk, dia ingat UMNO jadi kerajaan lagi. Mereka perlu ingat yang memerintah sekarang adalah Pakatan Rakyat (PH) bukan UMNO lagi.

“Ini tidak, masih ceramah macam dulu juga, (mereka) ini tak faham dan tak reti (pandai) politik.

“Biar saya sebut terus terang, PAS sebagai parti Islam perlu mengambil satu langkah fiqah muwazanah iaitu pertimbangan untuk memilih (pihak) mana yang lebih baik untuk mempertahankan kuasa politik umat Islam, ini perlu difahami,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) di Dewan Majlis Daerah Marang di sini, hari ini.

Abdul Hadi berkata, Pilihan Raya Umum (PRU) lalu memperlihatkan keputusan unik apabila pemerintah tidak seimbang dengan demografi penduduk Malaysia.

“Keputusan PRU lalu ditentukan orang muda berusia 21 hingga 30 tahun dan pengundi bukan Islam. Sebanyak 30 peratus pengundi muda yang baharu setahun jagung ini dan 90 peratus bukan Islam memilih PH sehingga menumbangkan Barisan Nasional (BN).

“Penduduk Malaysia meliputi sebanyak 65 peratus orang Islam tapi yang menguasai Parlimen dengan majoriti mudah ialah bukan Islam.

“Ini menjadikan cabaran untuk kita dan mungkin apa yang diluluskan di peringkat negeri tidak akan diluluskan (di Parlimen), di samping ada orang yang nak cepat jadi Perdana Menteri menambahkan lagi cabaran kepada kita,” katanya. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.