PAS: Mualaf Juga Derita, Bukan Indira Saja

Para anggota parlimen PAS berkata orang bukan Islam seperti Indira Gandhi bukanlah satu-satunya pihak yang menderita dalam isu Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian)1976 itu tetapi golongan mualaf juga.

Bercakap dalam sidang akhbar di Parlimen, setiausaha agung PAS Takiyuddin Hassan, didokong oleh 13 orang MP PAS, berulang kali enggan menjelaskan tindakan kerajaan untuk menggugurkan Seksyen 88A daripada pindaan akta tersebut.

Takiyuddin berkata isu Seksyen 88A itu akan dibindangkan kemudian.

Seksyen 88A secara berkesan menghentikan amalan saudara baru Islam untuk turut sama menukar agama anak mereka dan kemudiannya mendapatkan perintah jagaan kanak-kanak daripada mahkamah syariah.

Amalan ini selalunya akan membawa pertelagahan di antara ibu bapa Islam dan bukan Islam, yang juga menyebabkan pergeseran di antara mahkamah sivil dan mahkamah syariah.

Berhubung soalan Indira menderita selama lapan tahun dalam perbicaraan untuk mendapat hak penjagaan anak dengan suami mualafnya, Takiyuddin berkata mualaf juga turut menderita.

Pindaan terhadap Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 akan dibuat malam ini.

Takiyuddin juga bertegas perundangan berkaitan kahwin dan cerai seseorang Islam mestilah di bawah bidang kuasa mahkamah syariah.

Menurut Takiyuddin lagi pindaan tersebut merupakan suatu percanggahan sehingga kelihatannya seperti seorang mualaf itu dipaksa untuk menyelesaikan penceraiannya di mahkamah sivil.

Atas sebab ini, PAS bertekad untuk menentang pindaan akta tersebut walaupun setuju dengan cadangan untuk membuang Seksyen 88A.
Pindaan akta tersebut dibentangkan semula di parlimen selepas pihak kerajaan menggugurkan Seksyen 88A.

Hal ini dibuat berdasarkan nasihat peguam negara yang menyatakan pindaan itu memerlukan kerajaan untuk meminda perlembagaan.

Pindaan Perlembagaan memerlukan majoriti dua pertiga dan pihak kerajaan tidak pasti sama ada pembangkang akan menyokong usaha ini.-Malaysiakini

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.