Jika MH370 Menjunam 20,000 Kaki Seminit, Tentu Ada Serpihan – Pakar

KUALA LUMPUR – Seorang juruterbang ujian hari ini mempertikai laporan berita bahawa pesawat MH370 menjunam ke dalam laut pada kelajuan amat tinggi iaitu hingga 20,000 kaki seminit memandangkan tiada sebarang serpihan ditemukan pasukan mencari.

 

Juruterbang Ujian Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Prof. Dr. Mohd. Harridon Mohamed Suffian berkata sekiranya pesawat itu menjunam ke dalam laut pada kelajuan itu, ia sudah tentu berkecai.

 

Katanya, perkara itu tidak mungkin berlaku kerana tiada sebarang kesan letupan dijumpai semasa operasi mencari dan menyelamat dilakukan.

 

Beliau berkata, teori itu tidak dapat diterima kerana tiada langsung serpihan besar atau fiuslaj dijumpai anggota dan pegawai pasukan mencari sejak operasi mencari MH370 dilancarkan 888 hari lepas.

 

“Pelik… kami sepatutnya menjumpai sekurang-kurangnya serpihan kecil atau besar atau malah sebahagian daripada fiuslajnya jika teori itu betul… tapi, tiada satu pun yang dijumpai… mungkin MH370 kehabisan bahan bakar, maka tidak berlaku letupan,” katanya.

 

Beliau bagaimanapun tidak menolak teori pesawat itu menjunam pada kelajuan tinggi.

 

“Kami hanya boleh menerima data itu dan membuat penyelidikan serta andaian untuk memecahkan kebuntuan, selain mencari serpihannya. Itulah objektif utama kami,” katanya.

 

Semalam, saintis pertahanan Australia yang menganalisis isyarat daripada MH370 mendedahkan bahawa pesawat jenis Boeing 777 itu jatuh dengan amat laju sebelum terhempas ke dalam Lautan Hindi di luar pantai Australia Barat.

 

Hasil daripada analisis yang dibuat terhadap data dan simulasi pengeluar pesawat berkenaan menunjukkan MH370 mungkin kehilangan kuasa enjinnya sebelum jatuh pada kelajuan hingga 20,000 kaki seminit pada 8 Mac 2014.

 

Ditanya tentang kemungkinan pesawat itu terhempas pada kelajuan tinggi di kawasan mencarinya, bekas juruterbang, Kapten (B) Abdul Rahmat Omar Tun Mohd Haniff berkata, kapal dan pesawat yang terlibat dengan operasi mencari tidak menemukan sebarang serpihan luar biasa. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.