Video: Lantik Pengerusi PAC Baharu Dengan Segera

Kuala Lumpur – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak digesa untuk mengadakan sidang khas Parlimen dalam masa terdekat.

 

Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Datuk Dr Ahmad Puad Zarkashi berkata, ia perlu bagi menjelaskan beberapa isu penting termasuk melantik Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang baharu.

 

Bagaimanapun katanya ia bergantung kepada keputusan Najib sama ada ingin melantik Pengerusi PAC ketika menyuarat kabinet pada Rabu ini.

 

 

“Kita serah kepada PM (Najib) untuk putuskan. Saya rasa beliau tahu apa yang perlu dilakukan.

 

“Apa pun saya sokong kenyataan Tan Sri Shahril Abdul Samad supaya diadakan sidang khas parlimen untuk lantik pengerusi PAC,” katanya kepada pemberita sebentar tadi.

 

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan program Doa Untuk Malaysia sempena menyambut Hari Kebangsaan hujung bulan ini.

 

Ahli Majlis Tertinggi Umno itu turut menyeru masyarakat supaya tidak menokok tambah maklumat sebenar bagi mengelak timbulnya fitnah terhadap pemimpin dan negara secara berleluasa.

 

Beliau berkata, dunia ‘hyperconnectivity’ yang wujud hari ini berupaya menggalakkan penyebaran fitnah terutama jika maklumat yang ada ditokok tambah dan diputar belit sehingga memudaratkan ketenteraman awam.

 

“Justeru orang ramai diminta agar mencari maklumat yang betul dan tepat.

 

“(Ia) bagi mengelak sebarang fitnah yang akhirnya akan membawa musibah kepada negara dan pemimpin kita,” katanya lagi.

 

Terdahulu, Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC), Tan Sri Shahril Abdul Samad yang menggesa Najib untuk mengadakan segera sidang khas parlimen.

 

Katanya, kekosongan yang ditinggalkan bekas pengerusinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang menjawat jawatan Timbalan Menteri Dalam Negeri itu tidak boleh dilengahkan lagi bagi membolehkan PAC dapat berfungsi semula.

 

Ia termasuk bagi menyegerakan siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang kini tertangguh.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.