UMNO Akan Siasat Isu Memorandum – Tengku Adnan

Kuala Lumpur – UMNO akan menyiasat kebenaran kejadian seorang daripada perwakilan Pasir Gudang yang dikatakan menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan meminta beliau ‘berehat’.

 

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, dakwaan mengenai insiden tersebut masih belum dipastikan.

 

Beliau bagaimanapun, memberi jaminan sebagai Setiausaha perkara itu akan diteliti dan disiasat.

 

“Kadang-kadang, perkara begini sengaja dibuat…

 

“Dalam mana-mana organisasi, terdapat mereka yang memahami tujuan, perjuangan dan ada juga yang menyertai parti semata-mata mahu memusnahkan parti,” katanya ketika diminta mengulas kejadian berkenaan, selepas merasmikan pembukaan Oval Damansara, hari ini.

 

Isu berkenaan timbul selepas seorang perwakilan dari Pasir Gudang, didakwa menyerahkan memorandum selepas Najib menyampaikan ucapan perasmian bahagian tersebut.

 

“Tunggu saja… masalah timbul kerana terdapat mereka yang tidak suka apa yang kita buat dan mereka fikir mereka boleh musnahkan Umno dengan menjatuhkan presiden.

 

“Mereka tak ingat bahawa Umno masih lagi parti yang paling kuat di mana kita menang 88 kerusi dalam Pilihan Raya Umum yang lalu.

 

“Mereka tahu rancangan kita untuk rampas kembali kawasan yang kita kalah jadi mereka cuba sedaya upaya menjatuhkan moral dan menunjukkan kita jahat,” kata Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan.

 

Antara dua usul yang penting yang terkandung dalam memorandum berkenaan adalah meminta Najib berehat dari jawatannya dan membatalkan penangguhan 18 bulan untuk pilihan raya parti.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.