Sektor Perdagangan Pengedaran Malaysia Naik 5 Peratus Dalam Suku Kedua

KUALA LUMPUR – Sektor perdagangan perniagaan Malaysia naik sebanyak lima peratus dalam suku kedua 2015, selepas didorong oleh perdagangan yang positif dalam sub-sektornya.

 

Subsektor perdagangan runcit meningkat sebanyak 7.2 peratus, diikuti oleh perdagangan borong (4.0 peratus) dan kenderaan (3.1 peratus), kata Jabatan Perangkaan dalam satu kenyataan hari ini.

 

Pada asas suku tahun, nilai jualan susut sebanyak 0.4 peratus kepada RM247.7 bilion daripada RM248.6 bilion, katanya.

 

Jumlah bilangan pekerja dalam sektor ini adalah seramai 1.6 juta, meningkat sebanyak 2.5 peratus atau 39.536 orang, berbanding dengan suku yang sama tahun sebelumnya.

 

“Nilai jualan subsektor perdagangan borong bertambah sebanyak 4.0 peratus kepada RM121.9 bilion pada suku kedua berbanding dengan suku yang sama pada 2014.

 

“Ini disebabkan oleh sumbangan borong barangan isi rumah (8.1 peratus peratus), perdagangan borong bukan khusus (6.2 peratus) dan borong makanan, minuman serta tembakau (6.0 peratus),” katanya.

 

Sementara itu, subsektor perdagangan runcit meningkat sebanyak 7.2 peratus atau RM6 bilion berbanding dengan suku yang sama tahun sebelum ini, disokong oleh pertambahan jualan runcit melalui gerai dan pasar (11.5 peratus), jualan runcit bahan api automotif di kedai-kedai khusus (11.4 peratus) dan jualan runcit barang-barang lain di kedai-kedai tertentu (0.4 peratus).

 

Nilai jualan kenderaan bermotor menokok sebanyak 3.1 peratus dari tahun ke tahun kepada RM35.6 bilion.

 

Perkembangan tersebut disumbang oleh perniagaan penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan bermotor (4.0 peratus), jualan kenderaan bermotor (3.7 peratus) dan penjualan alat ganti kenderaan dan aksesori (2.2 peratus). – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.