PM Difitnah Lagi

Kuala Lumpur – Datuk Seri Najib Tun Razak difitnah lagi oleh pengguna laman sosial tidak bertanggungjawab apabila melaga-lagakan beliau dengan Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni almarhum Sultan Iskandar.

 

Menerusi Facebook, pengguna itu memuatnaik status mendakwa kapal terbang yang dinaiki Perdana Menteri tidak dibenarkan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai atas titah Sultan Johor.

 

“Laporan dalam sejarah Malaysia kehadiran PM malaysia ke Johor terpaksa melalui Singapura Airport dan naik kereta Singapore kerana tidak dibenarkan landing di Senai aiport. Dan tiada kemudahan dan majlis sambutan disediakan. Oleh kerajaan negeri atas titah Sultan Johor”, tulis status itu.

 

Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Akmar Hisham Mokhles berkata, penerbangan Najib memang dijadualkan mendarat di Lapangan Terbang Changi atas urusan rasmi sebelum beliau mengikuti program UMNO di Johor Bahru.

 

“PM (Perdana Menteri) diundang sebagai tetamu kehormat dalam Majlis Sambutan Hari Kebangsaan di sana (Singapura). Sebab itu penerbangannya mendarat di Changi.

 

“Kalau ada orang yang berkata selain itu ia adalah sesuatu yang direka-reka dan tidak benar,” katanya kepada FMT.

 

Pegawai Khas kepada isteri Perdana Menteri, Datuk Rizal Mansor juga menafikan dakwaan di media sosial itu dan menegaskan dakwaan itu merupakan fitnah untuk mencemarkan imej Perdana Menteri.

 

“Perdana Menteri sememangnya telah dijadualkan berlepas dari Lapangan Terbang Kuala Lumpur terus ke Lapangan Terbang Changi (Singapura).

 

“Beliau ke Singapura atas undangan kerajaan negara itu menyertai sambutan Hari Kebangsaan dan kereta yang digunakan Perdana Menteri juga disediakan kerajaan Singapura untuk masuk semula ke Johor bagi merasmikan Persidangan Mesyuarat UMNO Bahagian Pasir Gudang.

 

“Beliau kembali ke Singapura untuk acara rasmi di sana,” katanya ketika dihubungi.

 

Rizal turut menjelaskan hubungan mesra Najib dan Sultan Johor dibuktikan melalui satu gambar yang dimuatnaik dalam akaun Facebook Perdana Menteri itu.

 

Sementara itu, Setiausaha Akhbar Menteri Besar Johor, Ahmad Asri Kalbi berkata, dakwaan itu tindakan yang tidak bertanggungjawab.

 

“Rakyat Malaysia yang bertanggungjawab tidak akan menyebarkan fitnah seperti itu dan tidak akan melaga-lagakan Sultan Johor dengan pemimpin negara.

 

“Baginda amat mengambil berat kehadiran Perdana Menteri dalam Majlis Perasmian UMNO Bahagian Pasir Gudang,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.