Pertukaran Dua Pengarah SPRM Dibatalkan

KUALA LUMPUR – Pertukaran serta-merta dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang dibuat sebelum ini dibatalkan.

 

Dua pegawai terbabit adalah Pengarah Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM, Datuk Bahri Mohamad Zin dan Pengarah Komunikasi Strategik SPRM, Datuk Rohaizad Yaakob.

 

Perkara itu dimaklumkan sendiri Bahri ketika dihubungi BH sebentar tadi, namun enggan mengulas lanjut mengenai sebab pembatalan pertukaran terbabit. Beliau turut memaklumkan akan ada penjelasan mengenai keputusan itu menerusi satu sidang media yang akan diadakan hari ini.

 

“Ya.. saya mengesahkan akan kembali (meneruskan tugas) ke SPRM. Tunggu sehingga satu sidang media akan diadakan hari ini,” katanya ringkas.

 

Terdahulu, kedua-dua pegawai terbabit hari ini dilaporkan menemui Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa bagi membincangkan pertukaran mereka.

 

Bahri mengetuai BOK, bahagian yang menyiasat SRC International Sdn Bhd dalam isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB) manakala Rohaizad menerima rombongan pemimpin pembangkang di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya dan berdialog dengan mereka. – BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.