MKN Tambah Aset Logistik Persiapan Hadapi Banjir

KUALA LIPIS – Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan menambah kelengkapan logistik seperti lori dan bot di seluruh negara sebagai persiapan untuk menghadapi musim banjir tahun ini.

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, aset itu akan ditempatkan di semua lokasi bagi kegunaan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), polis, bomba serta tentera.

 

“MKN memandang serius persiapan menghadapi musibah banjir kerana kita mengambil iktibar daripada pengalaman tahun lalu.

 

“Penempatan aset berkenaan dilakukan mengikut keperluan operasi menyelamat di sesebuah tempat melibatkan peranan pasukan beruniform tersebut,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Lipis di sini semalam.

 

Yang turut hadir Ketua UMNO Bahagian Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad dan Timbalannya, Datuk Seri Ir. Mohd. Soffi Abdul Razak.

 

Menurut Shahidan, sukarelawan JPAM yang kini berjumlah 855,000 orang juga akan digerakkan ke lokasi banjir bagi membantu anggota beruniform lain.

 

Beliau pada masa sama berharap pihak swasta membantu menyumbangkan aset bagi meringankan beban kewangan kerajaan.

 

Sementara itu, ketika berucap dalam persidangan tersebut, beliau meminta ahli UMNO membuat keputusan yang matang dan tidak terpengaruh dengan pelbagai dakwaan di media sosial berhubung beberapa isu melibatkan pemimpin tertinggi negara.

 

“Sebagai ahli UMNO, tugas kita adalah memperkasakan parti untuk tempoh jangka panjang agar dapat mengubah nasib orang Melayu menerusi transformasi pembangunan kerajaan,” katanya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.