Maldives Turut Sertai Operasi Cari Serpihan Pesawat MH370

COLOMBO – Maldives akan menyertai operasi mencari serpihan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 di Pulau Reunion.

 

Polis Maldives bertindak atas maklumat mengenai beberapa serpihan dilaporkan ditemui di tepi pantai di utara kepulauan berkenaan sejak kira-kira sebulan lalu, demikian menurut jurucakap polis.

 

Pihak berkuasa negara itu mula menggerakkan operasi di sepanjang pantai berkenaan semalam.

 

“Terdapat perkembangan terbaharu di sini susulan penemuan di Pulau Reunion,” kata jurucakap itu merujuk kepada penemuan serpihan sayap pesawat pada hujung bulan lalu di Pulau Reunion yang terletak 3,200 kilometer di barat daya Maldives.

 

Selepas penemuan itu, pihak berkuasa Malaysia memberikan maklumat kepada pihak berkuasa di Madagascar dan negara pesisir pantai Afrika Selatan mengenai kemungkinan lebih banyak serpihan terdampar di pantai.

 

Menteri di Jabatan Presiden Maldives, Mohamed Shareef, berkata, pihaknya sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa penerbangan Malaysia untuk mengenal pasti sebarang serpihan yang ditemui.

 

“Kami mengutip sebarang serpihan atau objek yang ditemui dan mengumpulkannya di sebuah stor supaya pihak berkuasa Malaysia boleh menjalankan ujian dan mengenal pasti sama ada ia milik pesawat atau sebaliknya,” katanya. – TheRakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.