PABM 2015: Lebih Banyak Kursi Pengajian Bahasa Melayu Selari Era ICT – Najib

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, lebih banyak Kursi Pengajian Bahasa Melayu perlu ditubuhkan di universiti-unversiti tersohor di seluruh dunia sebagai usaha memartabatkan bahasa Melayu dalam era ledakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

 

Justeru, beliau menyarankan Kementerian Pendidikan Tinggi supaya terus mengadakan perbincangan dengan pihak berkaitan di luar negara untuk merealisasikan hasrat tersebut.

 

Pada masa sama, Najib mahu kementerian itu mengadakan kerjasama dengan sekolah atau institusi pendidikan tinggi luar negara terutama dalam bidang penyelidikan, pendokumentasi maklumat dan penghantaran tenaga pengajar berkaitan dengan bahasa dan persuratan Melayu.

 

“Akibat perkembangan dan ledakan ICT ini, sedikit sebanyak telah memberikan cabaran baharu kepada bahasa Melayu, untuk memasuki alam siber dan seterusnya bersaing dengan bahasa-bahasa lain yang lebih dominan,” katanya pada Majlis Pertandingan Akhir Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri 2015 di Pusat Konvesyen Antarabangsa Putrajaya, di sini kelmarin.

 

PABM 2015 disertai 71 pelajar jurusan pengajian bahasa Melayu di institusi-institusi pengajian tinggi di seluruh dunia dan dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Alam Melayu, Antarabangsa dan kategori Pelajar Antarabangsa Di Malaysia.

 

“Semestinya, pertandingan ini menjadi platform mempertontonkan kepada seluruh rakyat Malaysia dan sebagai tanda simbolik bahawa bahasa Melayu sememangnya bersifat global, telah berkembang maju serta dimartabatkan sehingga ke seantero dunia,” katanya.

 

Pada pertandingan akhir tersebut, Mohd Akmal Aizat Umar diumum sebagai juara pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri (PABM) 2015 bagi kategori Alam Melayu.

 

Sementara itu pelajar dari Mesir yang kini menuntut di UIAM, Mahmud Abdel Fattah Ibrahim Essa yang memilih tajuk ‘ASEAN Berpusat Rakyat’ diumum sebagai pemenang untuk kategori pelajar antarabangsa di Malaysia.

 

Joshua Parfitt dari United Kingdom dinobatkan sebagai juara bagi kategori antarabangsa.

 

Pemenang bagi setiap kategori membawa pulang Piala Pusingan Perdana Menteri, piala iringan, wang tunai USD7,000 (kira-kira RM27,000), hadiah iringan serta sijil. – MyPutrajayaNews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.